Pesta Laut Sedunia di Bagan Sungai Besar 26 Jun ini

Perkampung an nelayan Bagan Sungai Besar
Perkampung an nelayan Bagan Sungai Besar
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Benih Hijau dengan kerjasama belia kampung nelayan Bagan Sungai Besar menganjurkan Pesta Laut Sedunia di Bagan Sungai Besar pada 26 Jun ini.

Acara tahunan yang bertemakan "Kemampanan Alam Sekitar, Kelestarian Lautan" ini diadakan bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Laut Sedunia.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman pemanasan global dan pencemaran alam sekitar terhadap kehidupan manusia.

Penaja juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata, isu-isu kritikal ini tidak boleh diabaikan kerana ianya boleh menjejaskan persekitaran hidup pada masa depan.

“Menerusi aktiviti berasaskan pengalaman di Pesta Laut Sedunia, ia boleh meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pencemaran laut, dan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan marin serta alam sekitar.

"Komuniti tempatan boleh belajar bersama cara-cara untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan menambah baik kebersihan persekitaran.

Loy Sian (dua kanan) bersama ahli jawatankuasa oenganjur
Loy Sian (dua kanan) bersama ahli jawatankuasa oenganjur

"Kesemua faktor-faktor ini boleh mempengaruhi persekitaran semasa dan masa depan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Benih Hijau, Ng Ja Wei menjemput orang ramai menghadiri acara itu di Dewan Serbaguna MPPK Bagan Sungai Besar yang disifatkan dapat memberi makna yang besar bagi sesi keluarga.

"Kami juga berharap agar maklumat diperolehi melalui pesta ini boleh membantu meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar di kalangan orang ramai, disamping dapat membina konsep penjagaan persekitaran, pengurangan penggunaan plastik, pembersihan perkampungan nelayan, serta pemeliharan lautan dan hutan paya bakau.

"Dengan meletakkan usaha untuk melindungi alam sekitar di sekeliling kita ini, ia akan membantu untuk memelihara penghidupan kita di masa depan," katanya lagi.

Beliau berkata, semua aktiviti adalah terbuka kepada orang ramai sementara pra-pendaftaran untuk menyertai Kampung Nelayan Fun Walk boleh dibuat di laman sesawang bit.ly/KampungNelayanFunWalk dan ianya terhad kepada 100 peserta sahaja.

"Pihak penganjur mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Pesta Laut Sedunia untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana kita boleh memainkan peranan dalam penjagaan alam sekitar," tambahnya.

Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM50 seorang termasuk baju jersi sukan, lencana penyertaan dan cenderahati.


Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman sesawang berikut:

1. Persatuan Benih Hijau: bit.ly/PersatuanBenihHijau (Elina: 016-715 1703)

2. Pesta Laut Sedunia: www.facebook.com/PRRBagan

3. Travel Mate: www.facebook.com/PhotoCreatorTravelmate