Kerajaan Selangor peruntuk RM5 juta tahun ini, cegah denggi

Siti Mariah Mahmud
Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan pembendungan penularan wabak denggi di Selangor pada tahun ini.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini termasuk melaksanakan projek rintis menggunakan teknologi baharu.

"Kerajaan negeri sedang melaksanakan projek rintis bagi pengimplementasian teknologi baharu dalam memantau lokaliti wabak dengan lebih efisien iaitu dengan menggunakan dron dan membangunkan aplikasi pengesanan lokaliti 'hotspot' yang boleh diakses oleh masyarakat awam," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, pada Khamis.

Demam denggi berpunca daripada virus bawaan nyamuk Aedes dan boleh dikawal manusia dengan kesedaran dan perubahan tingkah laku dalam mencegah pembiakan nyamuk serta penularan wabak denggi.

Siti Mariah berkata, sehingga 11 Jun 2022, Selangor mencatatkan jumlah kumulatif kes demam denggi sebanyak 13,438 kes dan mukim mencatatkan bilangan kes tertinggi ialah Klang (2,257); Damansara (2,038); Kajang (1,338); Sungai Buloh (1,324) dan Petaling (1,169).

“Sempena Sambutan Hari Denggi Asean 2022, saya menyeru setiap individu meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan denggi serta melakukan langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan rumah dan kawasan persekitaran, menghapuskan bekas air bertakung yang menyebabkan pembiakan, menggunakan repelan dan amalkan pembuangan sampah di tong sampah.

“Selain itu, Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) akan melaksanakan program-program di peringkat komuniti bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran rakyat terhadap kepentingan langkah pencegahan,” katanya.