NGO bersatu bentuk Rasuah Busters Kedah

Jawatankuasa Rasuah Busters Kedah bergambar bersama wakil-wakil NGO selepas pertemuan kali pertama di sebuah hotel pada malam Selasa.
Jawatankuasa Rasuah Busters Kedah bergambar bersama wakil-wakil NGO selepas pertemuan kali pertama di sebuah hotel pada malam Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Kedah bersatu hati bergabung bersama-sama menjayakan kempen menentang rasuah di negeri ini dengan menyertai Jawatankuasa Rasuah Busters Negeri Kedah.

Menurut Ketua jawatankuasanya, Usaini Mohamed, fokus pertama jawatankuasa tersebut kini adalah untuk turun ke kawasan awam di negeri ini untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menentang rasuah.

"Ada kesedaran di kalangan rakyat Kedah tentang gejala rasuah ini tapi kita mahu perkasa dan tingkatkan lagi kefahaman itu.

"Dengan tertubuhnya jawatankuasa Rasuah Busters di Kedah, kita berharap dapat membantu memperhebatkan lagi kempen ini dan fokus kepada kawasan awam seperti pasar awam, pasar raya atau sekolah," katanya kepada Sinar Harian selepas pelantikan Jawatankuasa Rasuah Busters Negeri Kedah di sebuah hotel pada malam Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Mengulas lanjut, Usaini berharap jawatankuasa itu juga akan mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak dalam merencanakan pelbagai program yang akan digerakkan di peringkat akar umbi.

Bagi menggerakkan aktiviti di Kedah, beliau akan dibantu oleh sepuluh Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Rasuah Busters Kedah iaitu Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, Dr Azahar Kasim, Dr Normahfuzah Ahmad, Muhammad Zamri A Seman dan Abd Wahab Yahya.

Dr Azahar Kasim
Dr Azahar Kasim

Turut serta Syarifah Maisarah Syed Mohamed, Ahmad Shafiq Majib, Ku Mohd Zolkarnie, Ahmad Fuad Ashari dan Nirvere Kaur.

Bagi Azhar dari Unit Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM) pula, beliau melihat kempen yang dijalankan ini perlu didedahkan di semua lapisan umur dan juga masyarakat agar memahami tentang bahaya dadah kepada negara.

"Rasuah ini perlu dibanteras, perlu diberi kesedaran supaya kita boleh melahirkan insan sekurang-kurangnya dia mampu menolak untuk menerima rasuah atau memberi rasuah," ujarnya.

Perkara tersebut juga disokong oleh guru swasta, Nirvere yang melihat pendidikan rasuah perlu diterapkan terutamanya di peringkat akar umbi.

Menurutnya, semua pihak perlu bersama-sama menjayakan usaha Rasuah Busters kerana melibatkan kepentingan negara pada masa hadapan.

Antara NGO yang hadir memberikan sokongan adalah Ikram Kedah, Majlis Gabungan Persatuan Wanita Kedah (Wanida), Abim Kedah, Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) Kedah, Persatuan Sukan Orang Pekak Kedah, Kedah Family Health Association, Majlis Dakwah Negara Kedah dan beberapa NGO lagi.

Usaini Mohamed
Usaini Mohamed