Tok Mat nafi tiada pembangunan di Dun Rantau

Mohamad Hassan - Foto Bernama
Mohamad Hassan - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau tidak memberi apa-apa pembangunan di Negeri Sembilan termasuk di kawasan Dun Rantau.

Beliau berkata, pembangunan pesat di kawasan Sendayan yang melibatkan 5,000 ekar tanah adalah bukti nyata hasil usaha dilakukan beliau ketika memerintah Negeri Sembilan.

“Sendayan di bawah Dun Rantau bukan saja kini pesat dengan kawasan perumahan, tapi juga komersial khususnya kawasan perindustrian.

“Itu satu pembangunan yang jelas dan nyata yang telah pun wujud dalam kawasan Dun Rantau dan banyak syarikat antarabangsa yang telah buka operasi mereka di Sendayan Tech Valley,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN PRK Dun Rantau di Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.

Menurutnya, paling membanggakan apabila Sendayan ada industri membuat brek kapal terbang yang mana hanya terdapat tiga di seluruh dunia.

Namun Mohamad berkata, beliau tidak mahu pembangunan dibuat secara berleluasa di Dun Rantau kerana ia akhirnya akan memberi kesan kepada penduduk.

“Meskipun membawa pembangunan, tapi kita nak kekalkan identiti kampung. Kita nak kurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

“Bagi saya apa yang penting, kita naik taraf sistem kemudahan jalan raya dan pengangkutan awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat dulu tak berkesan sebagai MB: Anwar

Sinar Harian semalam melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan gagal menjalankan tugas dengan berkesan ketika memegang jawatan itu selama tiga penggal sebelum ini.