Kejayaan skuad Harimau Malaya amat bermakna buat Johor

KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Keputusan penuh Malaysia 4 - 1 Bangladesh.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Keputusan penuh Malaysia 4 - 1 Bangladesh. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KEJAYAAN skuad bola sepak kebangsaan melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 setelah mengalahkan Bangladesh 4-1, pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa amat bermakna buat negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kejayaan itu membawa 1001 makna kepada negeri ini kerana 15 pemain dan bekas pemain Johor Darul Ta'zim FC (JDT) membarisi skuad Harimau Malaya.

"Tahniah saya ucapkan atas kejayaan skuad bola sepak kebangsaan negara selepas berjaya menamatkan penantian selama 42 tahun layak ke Piala Asia.

"Saya sangat bersyukur kerana Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan batu asas kepada pembangunan bola sepak negara ini. Menjunjung Kasih Tuanku.

"Tanpa usaha dan sokongan berterusan daripada baginda untuk merevolusikan bola sepak dari pelbagai aspek, saya percaya bola sepak Malaysia tidak akan sampai ke tahap ini di mana penantian empat dekad berakhir," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya pada Rabu.

Onn Hafiz juga berkata, tahun ini juga merupakan tahun paling membanggakan buat rakyat negeri Johor apabila JDT berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama dan kini, majoriti pemain JDT adalah mereka yang membawa skuad kebangsaan layak ke Piala Asia.

"Saya berdoa agar kejayaan ini bukanlah satu pengakhiran sebaliknya satu permulaan bagi bola sepak Johor terus memahat nama di persada dunia," katanya.

Semalam, skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon berpesta gol menewaskan Bangladesh 4-1, pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia.

Kemenangan disaksikan 52,964 penonton itu, membolehkan pasukan negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan kemaraan ke Piala Asia 2023, selaku antara lima naib juara terbaik kumpulan. - Bernama