JKM kesan ibu kandung Muhammad Zafrul Iqbal

Halimaton menunjukkan gambar Muhammad Zafrul Iqbal yang kini dalam jagaan keluarga pelihara di Merbok.
Halimaton menunjukkan gambar Muhammad Zafrul Iqbal yang kini dalam jagaan keluarga pelihara di Merbok.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan ibu kandung sejak September 2020.

Kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad Zafrul Iqbal, 2, kini berada dalam jagaan keluarga pelihara di Merbok, mengikut perintah mahkamah Seksyen 30(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Pelindung Kanak-kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Halimaton Hashim berkata, Muhammad Zafrul Iqbal dikatakan lahir pada 27 Ogos 2020 di sebuah asrama penginapan.

Menurutnya, asrama berkenaan dipercayai tempat di mana ibu kandung, Mira Rusdiana berusia 32 tahun ketika itu bekerja.

"Dia kemudian berdepan masalah pernafasan dan jangkitan kuman menyebabkannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, selepas tamat rawatan pada 26 Oktober 2020, ibu kandung yang dipercayai berasal dari Medan, Indonesia, tidak muncul serta menghilangkan diri.

"Kanak-kanak ini kemudian ditempatkan bawah jagaan pelindung JKM, sebelum diserahkan kepada keluarga pelihara," katanya.

Halimaton berkata, usaha mengesan ibu kandung pada alamat terakhir di Zon Anggerik, Bandar Amanjaya tidak berhasil.

"Sekiranya mana-mana individu mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi talian 04-4204900 untuk membantu dalam usaha menguruskan daftar lewat kelahiran," katanya.