PRK Rantau: Peluang ada, tapi rumit: Tok Mat

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mahu pengundi Dun Rantau terlalu awal yakin yang beliau akan memenangi PRK DUN Rantau pada 13 April ini.

Menurutnya yang mesra disapa Tok Mat, keyakinan sebegitu berbahaya kerana menyebabkan ada yang rasa tidak penting untuk mereka pulang mengundi.

“Itu sebabnya orang cakap Tok Mat boleh menang, itu tak betul. Saya harap pengundi Rantau jangan terpesona dengan ‘lagu’ yang saya akan menang sehingga ada rasa tak perlu balik dan keluar mengundi.

“Itu sengaja dibuat supaya dapat kurangkan orang keluar mengundi sedangkan ramai pengundi Rantau ini tinggal di luar kawasan,”katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN PRK DUN Rantau di Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.

Mohamad berkata, PH bersungguh untuk pastikan kemenangan berpihak kepada mereka bukan kerana kerusi Rantau itu penting, tetapi kerana beliau yang akan bertanding.

Malah beliau percaya yang PH akan menggunakan segala kuasa dan kemudahan yang ada untuk memastikan mereka menang.

“Itu sebabnya PH tekad menang di Rantau,bukannya kerana kerusi Rantau itu penting, kalau atau menang pun tiada apa-apa, tapi kerana yang bertanding itu adalah Mohamad Hasan.

“Tapi peluang saya menang itu ada, di mana-mana pun ada, tapi macam mana kita nak jadikan peluang sikit itu kepada banyak. Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dan kerja kuat,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengakui yang tugasnya untuk menang PRK ini rumit kerana perlu yakinkan pengundi Rantau yang perlunya satu parti pembangkang yang kuat, lebih-lebih lagi peranannya sebagai Ketua Pembangkang di Negeri Sembilan.