Jangan sampai lupa diri

A
A
A

BARU-BARU ini saya menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM). Mesyuarat yang ke sembilan ini bertujuan memilih ahli jawatan kuasa baharu.

Kata Yang Dipertua, “nak bagi peluang kepada orang baharu pula. Kami semua dah lama pegang jawatan ini”, setelah membentangkan resolusi untuk menjadikan setiap jawatan itu hanya perlu dipegang dua penggal.

Walaupun ada segelintir ahli secara berseloroh masih mahukan pengurusan jawatan kuasa yang lama, namun setelah resolusi disokong dan dipersetujui, ahli-ahli persatuan mengikut untuk memilih muka-muka baharu.

Selain itu mesyuarat kali ini juga dikendalikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya walaupun paparan kain rentangnya masih dalam bahasa Inggeris.

Syabas kepada PSKLM atas perubahan dan usaha ini. Bak kata pantun Melayu lama, ‘Apa guna asam paya, Kalau tidak menggulai ikan; Apa guna lagak dan gaya, Kalau bahasa tidak dihiraukan’.

Dan seperti kata peribahasa lama, 'janganlah hilang bahasa, kerana hilang bahasa maka lenyaplah bangsa'.

Begitulah pentingnya bahasa lambang adat dan identiti budaya. Walaupun begitu Malaysia sangatlah unik. Mempunyai berbagai adat budaya dan bangsa serta pelbagai bahasa, maka perlulah kita hidup bersama secara aman dan sentosa.

Dengan adat budaya, bangsa dan bahasa yang ada bermacam-macam ini, eloklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan, dihormati sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Semua rakyat jelata berbagai adat, budaya dan bangsa hendaklah mahir serta menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam berkata-kata dan juga urusan rasmi.

Kalau ke Kelantan dan Terengganu, kita dapat lihat dan dengar orang bukan Melayu mahir guna loghat negeri. Kadang-kadang kita akan tertipu bila mendengarnya dengan menyangka orang Melayu yang bertutur, tetapi rupa-rupanya orang bangsa lain.

Justeru, teringat saya dengan peribahasa Melayu lama - ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.’ Ini adalah peribahasa bagi mereka yang perlu menyesuaikan diri untuk menjadi rakyat Malaysia. Tetapi bagi mereka yang sudah lama di sini, tidak perlulah lagi menyesuaikan diri. Sepatutnya sudah mahir dan bangga bertutur dalam bahasa Melayu. Peliklah jika sudah lama bermastautin di sini tetapi masih pelat dan tidak tahu langsung bertutur bahasa Melayu. Kalau pendatang asing bolehlah juga diterima, walaupun ada pendatang asing yang cepat mahir bertutur dalam bahasa Melayu.

Walaupun begitu ada juga orang Melayu bijak pandai berkata, bahasa Melayu ini bukan boleh membawa kemajuan. Ataupun terdengar juga kata-kata orang bijak pandai Melayu moden, bahasa Melayu ini bukan bahasa komersial boleh buat duit.

Mereka yang berbangsa Melayu moden dan bijaksana ini juga mempunyai slanga-slanga Inggeris yang hebat ketika berbicara sesama sendiri, terutama dengan kaum keluarga dan orang-orang lain ketika bekerja.

Mereka ini juga mahir mencampuradukkan bahasa menjadi rojak. Kadang mereka bertutur menggunakan ‘I’ dan ‘You’ sahaja. Memang tidak dinafikan mereka ini juga orang yang pandai walaupun ada segelintir yang tidak pandai tetapi bila berada di kota besar terus terkejut dan terpengaruh.

Orang bijaksana seperti ini telah lupa asal-usulnya, bak kata peribahasa Melayu lama ‘lonjak sebagai labu dibenam.’ Kalau hendak tahu maknanya bolehlah cuba mencari-cari sendiri supaya lebih faham akan maksudnya.

Boleh juga kita kiaskan ibarat ‘geleng seperti si patung kenyang’. Perlu juga dikaji kenapa orang tua Melayu bijaksana dahulu menggunakan atau memilih patung kenyang. Sedangkan patung itu sendiri tidak boleh menggeleng kalau tidak digelengkan oleh orang lain. Mungkin orang-orang moden yang bijak sekarang boleh memikirkan.

Selain itu kerajaan juga perlu memainkan peranan. Seperti yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengutamakan bahasa Melayu dan dilaksanakan sepenuhnya. Jika ada kakitangan serta menteri yang tidak fasih maka hendaklah dihantar untuk belajar.

Kepada orang-orang yang bijaksana dan moden sekarang, hendaklah insaf, supaya 'apabila mengerat betung, jangan sampai terluka jari', dan 'apabila mendapat untung pula, janganlah sampai lupa diri'.

Akhir kata, tahniah kepada Mat Dan.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com