Harimau Malaya bukan lagi 'kucing' manja

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa. - Foto Bernama
Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD bola sepak negara membuktikan bahawa mereka bukan lagi pasukan yang boleh dipandang remeh selepas berjaya menembusi pentas tertinggi Asia iaitu layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia.

Kejayaan membanggakan itu hadir selepas Harimau Malaya menyudahkan kempen kelayakan kali ini dengan membelasah Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Sebelum itu, skuad kendalian Kim Pan-gon itu terlebih dahulu menundukkan Turkmenistan namun tewas kepada Bahrain untuk mara secara merit selaku lima pasukan naib juara terbaik setiap kumpulan.

Ia juga menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan penantian panjang 43 tahun untuk mara ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir pada tahun 1980 selain pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Laluan untuk mara ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah dengan kritikan demi kritikan jelas mematangkan skuad negara untuk membentuk sebuah pasukan mantap.

Kehadiran Kim Pan-gon selaku jurulatih negara pada Januari lalu sedikit sebanyak menambah taring skuad negara dengan asas permainan berintensiti tinggi yang dicorakkan beliau.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu juga bijak dalam membentuk gandingan pemain sehingga menjadikan kesemua mereka dilihat cukup serasi di atas padang.

Malah, sikap pemain juga menunjukkan seolah-olah mereka laparkan kemenangan dengan permainan agresif dalam ketiga-tiga perlawanan kelayakan itu dan ia aksi yang sangat berbeza dipamerkan berbanding dalam tugasan antarabangsa terdahulu.

Sudah tentu kejayaan layak secara merit ini menjadi detik kegembiraan kepada seluruh rakyat Malaysia yang amat dahagakan aksi penuh bertenaga dan kejayaan dipamerkan skuad negara seperti ketika ini.

Namun, semua pihak terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh 'berpesta' panjang kerana cabaran lebih besar menanti di Piala Asia pada 2023.

Sediakan perancangan awal dan pastikan rentak dan momentum yang ada pada ketika ini dikekalkan.

Natijah akhirnya sudah tentu untuk mencapai kejayaan lebih membanggakan di pentas Piala Asia.

Harimau Malaya kembali mengaum!