Pelaksanaan GST, hanya cepat atau lambat

Melihat kepada keperluan untuk meningkatkan ekonomi negara, mahu tidak mahu, kerajaan lambat laun dijangka mengumumkan pelaksanaan semula sistem GST. - Foto fail Bernama
Melihat kepada keperluan untuk meningkatkan ekonomi negara, mahu tidak mahu, kerajaan lambat laun dijangka mengumumkan pelaksanaan semula sistem GST. - Foto fail Bernama
A
A
A

AKHIR-AKHIR ini perbincangan mengenai kemungkinan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) semakin mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Antara individu membangkitkan perkara itu ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menerusi satu temu bual bersama Sinar Harian pada Januari lalu.

Dalam wawancara tersebut, Tengku Zafrul berkata, pengenalan GST itu diperlukan bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Tengku Zafrul turut memaklumkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan pada 2018, walaupun harga barangan selepas pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo, Jepun baru-baru ini berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan pelaksanaan kembali GST.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana sistem percukaian itu dilihat sebagai satu cara efektif untuk menambah pendapatan negara selain membantu menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Melihat hujah dikemukakan bagi merasionalkan pengenalan semula GST itu, ia mengingatkan kita kepada analogi ‘kek’ yang digunakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program Debat Perdana baru-baru ini bagi menggambarkan ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, GST yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2015 antaranya bertujuan membesarkan ‘kek’ ekonomi negara untuk diagihkan semula kepada rakyat.

Pelaksanaan GST yang ditetapkan pada kadar 6 peratus sebelum ini menyaksikan kutipan cukai tersebut mencecah RM44.3 bilion atau meliputi lebih 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan negara pada 2017.

Ketirisan

Kenyataan Najib berkaitan keperluan membesarkan ‘kek’ itu bagaimanapun disanggah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan cara pembahagian dan pengurusan hasil ‘kek besar’ tersebut.

Tanpa menidakkan kebaikan sistem cukai itu, Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, masalah dialami rakyat tidak akan selesai semata-mata dengan pengenalan GST yang beliau sifatkan sebagai ‘penyelesaian mudah’.

Persoalan dibangkitkan Anwar itu sememangnya berasas kerana masalah ketirisan hasil negara adalah isu besar yang mesti diselesaikan dahulu oleh kerajaan.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan ketidakpatuhan kementerian dan jabatan persekutuan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620 juta pada 2020.

Dalam pada itu, Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2019 turut mendapati negara kerugian hampir RM1 bilion akibat pembaziran atau ketirisan.

Sehubungan itu, hasrat kerajaan untuk membentang Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen dalam masa terdekat adalah perkara positif yang perlu disambut baik.

Pada masa sama, isu defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga perlu ditangani bagi memastikan segala pelaksanaan dasar termasuk GST dapat dilakukan dengan teratur seterusnya memberi kebaikan jangka panjang kepada negara.

Kewujudan defisit kepercayaan terhadap kerajaan dikhuatiri bakal mengulangi episod penamatan sistem percukaian tersebut pada 2018 yang boleh menjejaskan perancangan jangka panjang kewangan negara.

Selain itu, kerajaan juga perlu menjelaskan langkah bakal diambil bagi menangani beberapa masalah yang berlaku semasa pelaksanaan GST sebelum ini, antaranya isu kelewatan tuntutan cukai yang memberi kesan buruk kepada sektor perniagaan di dalam negara.

Melihat kepada keperluan untuk meningkatkan ekonomi negara, mahu tidak mahu, kerajaan lambat laun dijangka mengumumkan pelaksanaan semula sistem GST.

Tambahan pula, dalam isu pengenalan semula GST, rata-rata pakar ekonomi bersetuju berhubung manfaat besar sistem percukaian itu terhadap kewangan negara. Persoalan penting yang harus ditanyakan kini adalah bilakah GST akan dilaksanakan? Cepat atau lambat?

* Muhammad Amnan Hibrahim ialah Wartawan Sinar Harian