MTAQ tawar pengajian percuma kepada asnaf, anak yatim

Maahad Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq (MTAQ) Padang Pak Amat, Pasir Puteh.
Maahad Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq (MTAQ) Padang Pak Amat, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Maahad Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq (MTAQ) Padang Pak Amat terus fokus dalam memberikan pengajian al-Quran dan akademik percuma kepada golongan asnaf dan yatim.

Penyelia MTAQ, Siti Masitah Mohd Sukri berkata, maahad tersebut turut dikenali sebagai pusat tahfiz anak yatim kerana memberikan pendidikan percuma kepada golongan tersebut bermula usia sembilan tahun.

“MTAQ merupakan sebuah institusi di bawah pengurusan Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan (PKPIK) yang ditubuhkan pada 15 Jun 2020 dan dikendalikan oleh Datuk Mohd Nazry Mohamad Nor.

“Pusat tahfiz ini memfokuskan kepada sistem pendidikan percuma yang dikhaskan untuk golongan asnaf dan anak yatim,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Siti Masitah berkata, pada permulaan, MTAQ hanya memiliki lapan pelajar dan kini bilangannya meningkat sehingga 30 orang.

Pelajar Maahad Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq (MTAQ) menyertai Majlis Tadarus al-Quran di Masjid Tok Guru, Bandar Tok Janggut.
Pelajar Maahad Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq (MTAQ) menyertai Majlis Tadarus al-Quran di Masjid Tok Guru, Bandar Tok Janggut.

“Penubuhan pusat ini bertujuan menyediakan pendidikan kepada anak-anak yatim dan asnaf agar mereka tidak ketinggalan dan terabai dari segi pendidikan agama mahupun akademik.

“Di pusat tahfiz ini, sesi hafazan akan dimulakan sebelum Subuh kemudian disambung dengan sesi pembelajaran kitab dan al-Quran selepas Subuh,” katanya.

Beliau berkata, penghuni MTAQ akan menerima pendedahan bermula peringkat awal seperti muqaddam, iqra dan kelas asas fardu ain sebelum proses menghafal bermula.

“Dalam tempoh dua tahun penubuhan tahfiz, sudah ada dalam kalangan pelajar yang berjaya menghafal sekurang-kurangnya empat juzuk.

“Selain menghafal, pelajar juga diterapkan untuk mengamalkan zikir harian, mathurat, manzil, surah-surah pilihan, solat sunat serta puasa sunat terutama pada Isnin dan Khamis," katanya.

Tambahnya, bagi mengimbangkan dunia dan akhirat, pelajar juga akan terlibat dengan pembelajaran akademik dan kelas kemahiran seperti memasak serta menjahit pada hujung minggu.

“Pihak pengurusan mengalu-alukan individu mahupun organisasi untuk membuat kebajikan dari segi penganjuran program mahupun material kepada maahad dan boleh menghubungi talian 013- 9691256 atau salurkan ke akaun Maahad Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq, CIMB 8604230691,” katanya.