Lelaki maut jatuh tasik ketika memukat bersama isteri, anak

Lokasi tasik terbiar di mana mangsa dipercayai terjatuh ketika memukat di tepi tasik dekat Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.
Lokasi tasik terbiar di mana mangsa dipercayai terjatuh ketika memukat di tepi tasik dekat Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Keterujaan seorang lelaki memukat ikan di sebuah tasik terbiar bersama isteri dan anak perempuan berusia tiga tahun berakhir tragedi apabila mangsa maut dipercayai terjatuh.

Mangsa, M Shafiq Mohd Mokhtar, 36, dari Kampung Sungai Pasir Kecil dilaporkan terjatuh dalam tasik di Jalan Hill Park, Bandar Puteri Jaya di sini dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima maklumat berkaitan penemuan seorang lelaki yang dikatakan lemas akibat terjatuh ke dalam tasik.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi tasik dan diangkat dengan bantuan orang awam.

"Sebelum kejadian, mangsa mengajak isteri dan anak menemaninya ke kawasan tasik tersebut untuk melakukan aktiviti memukat pada jam 12.30 tengah hari dengan menaiki motosikal.

"Apabila sampai ke lokasi kejadian, mangsa yang teruja terus mencari lokasi sesuai dengan membawa pukat sementara anak dan isterinya berteduh di sebuah pondok berhampiran susulan hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, setelah hujan reda isterinya mahu memanggil mangsa untuk makan namun panggilannya tidak disahut dan mengesyaki suaminya itu telah terjatuh dalam tasik selepas ternampak topi yang dipakai mangsa terapung.

"Merasakan sesuatu telah berlaku menyebabkan isteri mangsa menghubungi bapa mentuanya.

"Pasangan itu dikatakan pernah ke lokasi terbabit untuk memukat pada Disember 2019 lalu. Semakan rekod kesihatan mendapati mangsa menghidap penyakit sawan dan siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,"katanya.

Dalam pada itu, Zaidy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk tindakan lanjut.