Arul Kanda kekal sebagai tertuduh

Arul Kanda
Arul Kanda
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy kekal sebagai tertuduh bersama Datuk Seri Najib Razak dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Peguamnya, Datuk N Sivananthan berkata, kedudukan itu kekal walaupun Arul Kanda mungkin dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Menurutnya, anak guamnya itu secara sukarela memberikan kerjasama dan semua maklumat apabila siasatan dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Merujuk kepada tajuk berita media tertentu hari ini yang berkaitan dengan anak guam saya, Arul Kanda, kenyataan tertentu yang saya buat di mahkamah hari ini telah diambil di luar konteks.

"Khususnya beberapa tajuk utama media cuba membayangkan bahawa anak guam saya yang kini dituduh bersama dalam perbicaraan "dengan senang hati" menjadi saksi pendakwaan terhadap tertuduh bersamanya iaitu Najib," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kedudukan Arul Kanda tidak sepatutnya didakwa dan jika hakim memutuskannya menjadi saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta SPRM, beliau bersedia memberikan keterangan yang konsisten dengan kenyataan yang pernah diberikan sebelum ini kepada SPRM.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.