Umno beri keuntungan untuk perjuangan Islam

Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh
Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh
A
A
A


KOTA BHARU - Kebersamaan Umno dengan Pas kini dilihat memberi keuntungan untuk masyarakat Islam dan Melayu amnya.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh berkata, walaupun tiada isu kerjasama khusus dibincangkan namun kerjasama dengan Umno ini telah lama dilaksanakan dalam isu tertentu seperti RUU 355 sebelum ini.

Beliau berkata, Majlis Syura Ulama menetapkan bahawa persefahaman yang memberi keuntungan kepada perjuangan Islam, maka mereka diizinkan mengikut nas al- Quran dan hadis untuk mengadakan hubungan dengan mana- mana parti di negara ini.

“Gabungan bersama Umno ini belum dibincang secara khusus namun Majlis Syura Ulama tiada halangan untuk Pas mengadakan hubungan dengan parti lain dalam negara kita.
Artikel Berkaitan:


“Benar setakat ini Umno sangat memberi keuntungan kepada umat Islam dan masyarakat Melayu melalui banyak aspek. Justeru, kebersamaan ini (dengan Pas) dilihat sebagai satu keperluan.

“Kita sangat terbuka dengan mana- mana parti yang ada asalkan matlamat dibawa ada persamaan, di masa depan kita akan buat keputusan khusus dari Majlis Syura Ulama kerana ia adalah badan paling tinggi dalam Pas,” katanya kepada media selepas ceramah ‘Grand Finale’ bantahan ICERD di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Hadir sama ke ceramah itu ialah Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan; Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad; Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor.