Juruteknik ditahan bantu siasatan gaduh depan restoran

Kejadian pergaduhan yang berlaku pada 13 Jun lalu melibatkan dua lelaki di hadapan sebuah restoran di Lebuh Chulia.
Kejadian pergaduhan yang berlaku pada 13 Jun lalu melibatkan dua lelaki di hadapan sebuah restoran di Lebuh Chulia.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang juruteknik warga tempatan direman empat hari selepas didakwa mencederakan seorang warga asing dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Lebuh Chulia, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek yang berusia 29 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan itu direman sehingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan.

"Suspek ditahan pada jam 10.30 malam semalam (Isnin) di kawasan Lebuh Chulia selepas kita menerima laporan daripada mangsa.

"Suspek yang bekerja sebagai juruteknik di negeri ini bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian saringan awal air kencing suspek juga negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Soffian berkata, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diserang suspek menggunakan botol minuman.

"Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam, 13 Jun lalu itu menyebabkan mangsa yang berusia 40 tahun cedera di bahagian muka akibat diserang suspek menggunakan botol minuman.

"Siasatan mendapati, punca kejadian disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut setelah suspek dikatakan menegur mangsa secara kasar," katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar rakaman video berkenaan kejadian di mana-mana laman sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini, video berdurasi 38 saat itu memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran.