Maritim Malaysia rampas 20 set bubu naga di Kuala Tebengau

Penguat kuasa Maritim Malaysia memeriksa bubu naga yang dirampas dari sebuah bot nelayan di perairan Kuala Tebengau pada Isnin. Gambar ihsan Maritim Kuala Kedah
Penguat kuasa Maritim Malaysia memeriksa bubu naga yang dirampas dari sebuah bot nelayan di perairan Kuala Tebengau pada Isnin. Gambar ihsan Maritim Kuala Kedah
A
A
A

YAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 20 set bubu naga dalam Op Aman di perairan Kuala Tebengau dekat sini pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bubu naga tersebut dirampas di kedudukan 0.7 batu nautika dalam operasi yang dijalankan pada Isnin.

Menurutnya, hanya satu aduan diterima sepanjang bulan ini membabitkan penggunaan bubu naga di sekitar perairan Kedah.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,400 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Kesemua bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia dianggar bernilai RM2,400. Gambar ihsan Maritim Kuala Kedah
Kesemua bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia dianggar bernilai RM2,400. Gambar ihsan Maritim Kuala Kedah

“Operasi pemantauan penggunaan bubu naga dilaksanakan secara berkala, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Noor Azreyanti berkata, penggunaan bubu naga mengancam dan boleh merosakkan ekosistem marin selain menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di dalam kawasan perairan negara. Pemantauan akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya lagi, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731 0579.