Masih relevankah orang politik pimpin persatuan sukan?

 Shahidan Kassim sekali lagi diberi kepercayaan memimpin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Shahidan Kassim sekali lagi diberi kepercayaan memimpin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
A
A
A

MERAK Jalanan nak ucap tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim apabila sekali lagi diberi kepercayaan memimpin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Selepas 10 tahun, Shahidan kembali menduduki kerusi nombor satu KOM.

Ikut rekod, beliau pernah memegang jawatan Presiden KOM dari 2006 hingga 2012, namun tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pemilihan bagi penggal 2013 hingga 2015.

Umpama satu come back, pemilihan bagi penggal 2022 hingga 2025 yang dilangsungkan pada Ahad menyaksikan bekas Menteri Besar Perlis itu berjaya menewaskan penyandang Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

Ada sesuatu yang menarik apabila Shahidan dipilih sebagai Presiden KOM.

Ramai yang bertanya bolehkah orang politik atau individu dalam Jemaah Menteri memegang jawatan penting dalam persatuan sukan?

Persoalan itu timbul berikutan sebelum ini ada isu yang mana anggota kabinet dilarang memegang sebarang jawatan dalam persatuan sukan melainkan mendapat persetujuan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Kenyataan itu dibuat Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Ketika itu, Khairy diminta mengulas saranan kolumnis sebuah akhbar tempatan agar beliau mengambil alih tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 hingga 2021.

Malah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan juga pernah mengeluarkan kenyataan menasihati ahli-ahli politik supaya tidak menerima jawatan presiden bagi mana-mana persatuan sukan.

Jika diimbas semula, cerita orang politik 'masuk' ke dunia sukan bukan perkara baharu.

Sejak dulu lagi, kita telah melihat keberadaan ahli politik dalam persatuan sukan.

Hanya satu pesan Merak Jalanan, bila dah terpilih dalam apa sahaja portfolio, pikullah tanggungjawab itu sebaik-baiknya.

Jangan sampai ada yang bersuara: “Sudah tak relevan lagi orang politik pimpin persatuan sukan.”