Gagal daftar sekolah anak tanpa dokumen

Norizan (kiri) dan Rafidah bertanyakan tentang tindakan yang perlu dilakukan kepada Natrah (kanan) bagi membolehkan Mohd Rizki mula bersekolah pada tahun hadapan.
Norizan (kiri) dan Rafidah bertanyakan tentang tindakan yang perlu dilakukan kepada Natrah (kanan) bagi membolehkan Mohd Rizki mula bersekolah pada tahun hadapan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hasrat sepasang suami isteri mendaftarkan persekolahan anak pelihara, berdepan kesukaran akibat tidak memiliki dokumen kelahiran lengkap.

Norizan Ariffin, 63, berkata, kanak-kanak lelaki yang dipelihara bersama isteri, Rafidah Elvi Abd Latif, 43, berusia enam tahun dan bakal memasuki alam persekolahan tahun hadapan.

Menurutnya, pendaftaran persekolahan masih belum dapat dilakukan berikutan maklumat kelahiran serta dokumen yang diperlukan, kemungkinan berada bersama ibu kandung Mohd Rizki, 6.

"Semasa ditinggalkan, tiada sebarang dokumen yang diterima memandangkan ketika itu kami hanya menjadi pengasuh sementara ibunya yang dipercayai warga Indonesia, bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, wanita berusia lingkungan 30-an, fasih berbahasa Melayu dan mendakwa suaminya orang Malaysia, tidak pernah muncul lagi sehingga kini," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Rafidah berkata, dia bersetuju menjaga Mohd Rizki walaupun pada ketika itu usia bayi itu baharu mencecah dua minggu.

"Ibu kandung hanya datang seminggu sekali untuk beri susu dan lampin pakai buang, selepas usia Mohd Rizki sebulan, dia terus menghilang," katanya.

Beliau memohon mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat, tampil bagi membantu urusan yang diperlukan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai boleh menghubungi Norizan di talian 011-37186755 atau Pelindung Kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Natrah Ahmad di talian 04-4204900.