Rezeki tunai haji selepas terlibat kemalangan

Azhar bersama isterinya, Juwairiyah ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci di Kuala Nerus, pada Isnin.
Azhar bersama isterinya, Juwairiyah ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci di Kuala Nerus, pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang guru bakal menunaikan haji menganggap peluang diperoleh untuk menunaikan rukun Islam ke lima itu adalah anugerah paling istimewa selepas kembali pulih daripada kecederaan akibat kemalangan.

Azhar Abd Aziz, 52, berkata, bahagian tulang belakangnya retak dan patah selepas berlanggar dengan sebuah motosikal ketika menunggang basikal pada Disember tahun lalu.

"Saya ambil masa selama lima bulan untuk benar-benar pulih. Sepanjang tempoh rawatan untuk pulih saya bayangkan sudah tiada harapan lagi untuk saya menunaikan haji.

"Saya bersyukur sebab menerima tawaran untuk menunaikan haji sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Tak sangka saya dipilih untuk ke Tanah Suci tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci di sini, pada Isnin.

Lebih manis, Azhar berasal dari Kampung Buluh Gading, di Kuala Terengganu berpeluang menunaikan ibadah itu bersama isterinya, Juwairiyah Wahab, 52, serta birasnya.

Azhar, kini boleh berjalan seperti biasa dengan menggunakan tongkat.

"Saya rasa agak berdebar kerana baru pulih dari kecederaan. Saya lega kerana hasil pemeriksaan kesihatan menunjukkan saya pulih dan bersedia untuk menunaikan ibadah itu.

"Saya harap agar segala urusan sepanjang menunaikan ibadah ini berjalan lancar, " katanya.

Sementara itu, seorang lagi jemaah haji yang dikategorikan antara jemaah termuda teruja berpeluang menunaikan ibadah itu bersama suaminya.

Farahiah Mat Isa, 29, akan berangkat ke tanah suci bersama suaminya, Muhammad Aiman Roslee, 32.

Farahiah bersama suaminya, Muhammad Aiman ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci di Kuala Nerus, pada Isnin.
Farahiah bersama suaminya, Muhammad Aiman ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci di Kuala Nerus, pada Isnin.

"Saya daftar haji pada 2017 dan terima tawaran tunaikan haji bulan lepas. Suami pula sudah daftar haji pada usia 13 tahun dan pernah dipilih sebanyak tiga kali untuk ke Tanah Suci, malangnya belum ada rezeki untuk berbuat demikian.

"Pertama kali dia dipanggil tunaikan haji ketika selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kali kedua ketika belajar di Mesir dan kali ketiga ketika anak kami masih kecil. Syukurlah kali ini kami diberi peluang oleh ALLAH SWT untuk tunaikan haji bersama-sama," katanya.

Seramai 804 jemaah haji dari Terengganu terdiri daripada 453 perempuan dan 351 lelaki berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Penerbangan pertama yang membawa 142 bakal jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.45 malam pada Isnin.