Jemaah haji diingatkan jaga nama negara, jauhi anasir tidak sihat

Tengku Muhammad Ismail menyampaikan sumbangan kepada salah seorang jemaah haji yang akan berlepas ke KLIA dari LTSM di Kuala Nerus pada malam Isnin.
Tengku Muhammad Ismail menyampaikan sumbangan kepada salah seorang jemaah haji yang akan berlepas ke KLIA dari LTSM di Kuala Nerus pada malam Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Bakal jemaah haji diingatkan supaya menjaga nama baik negara dengan menjaga akhlak dan tidak melakukan anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kesemua jemaah haji diharap dapat mematuhi peraturan dan undang-undang sepanjang berada di Tanah Suci.

"Beta meminta bakal jemaah haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Terengganu.

"Semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin," titah baginda yang disampaikan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ketika menyempurnakan majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci pada Isnin.

Dalam pada itu, baginda turut menitahkan agar para jemaah mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadah haji.

"Beta harap umat Islam di Terengganu terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Terengganu khususnya dan Malaysia umumnya," titah baginda.

Seramai 804 jemaah haji dari Terengganu berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Penerbangan pertama yang membawa 142 bakal jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.45 malam pada Isnin.