'Sedia lebih 1.5 tan durian sehari'

Sekitar lebih 1.5 tan buah durian perlu disediakan oleh Mohd Al Azzahari bagi memenuhi permintaan peminat buah tersebut di gerainya di Jalan Langgar, Alor Setar.
Sekitar lebih 1.5 tan buah durian perlu disediakan oleh Mohd Al Azzahari bagi memenuhi permintaan peminat buah tersebut di gerainya di Jalan Langgar, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 1.5 tan durian disediakan pada setiap hari di sebuah gerai buah di Jalan Langgar, dekat ini bagi memenuhi permintaan tinggi daripada peminat raja buah itu yang mahu menikmatinya.

Pemilik gerai tersebut, Mohd Al Azzahari Ghazali, 29 berkata, kehadiran pelanggan yang ramai juga disebabkan oleh kelainan yang disediakan pihaknya yang turut menjual pulut dan cendoi untuk dimakan bersama durian di gerai tersebut.

Menurutnya, mengambil kira musim durian yang tiba, beberapa meja dan kerusi juga turut ditambah di gerai tersebut bagi menampung permintaan yang dijangka bertambah dua kali ganda daripada kebiasaannya.

"Saya sudah mula menjual pulut dan cendoi sejak dua bulan lalu di gerai ini. Setiap hari kira-kira 300 bekas cendol dapat dijual manakala 50 kilogram pulut juga perlu disediakan.

Mohd Al Azzahari menunjukkan durian pulut dan cendol pulut yang mendapat sambutan baik dari peminat buah durian di gerainya di Jalan Langgar, Alor Setar.
Mohd Al Azzahari menunjukkan durian pulut dan cendol pulut yang mendapat sambutan baik dari peminat buah durian di gerainya di Jalan Langgar, Alor Setar.

"Bagi pelanggan yang mahu makan durian di sini bersama pulut ada harga pakej yang disediakan iaitu RM35 bagi dewasa, pelanggan berumur sembilan tahun ke atas dikenakan RM25 manakala kanak-kanak sembilan tahun ke bawah percuma.

"Mereka boleh makan sebanyak mana yang mereka mahu, asalkan jangan membazir. Kemeriahan dapat dirasakan apabila melihat pelanggan bagaikan melepaskan geram selepas terkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun sebelum ini, " katanya kepada pemberita semasa ditemui di gerainya pada Ahad.

Mengulas lanjut, kata Mohd Al Azzahari, stok bekalan durian diperoleh sekitar Kedah seperti Kulim dan Baling selain dari Balik Pulau, Pulau Pinang serta Batu Kurau, Perak.

Menurutnya, selain durian kampung gred A, gerainya turut menjual durian jenis lain seperti Musang King, 101, D24, Hor Lor dan Udang Merah malah jika buah durian yang dibeli pelanggan rosak atau tidak dapat dimakan, pihaknya bersedia untuk mengantikan dengan buah durian lain.

"Kami mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan agar mereka semua berpuashati. Gerai buah durian ini bersama pakej yang disediakan akan dibuka sehingga habis musim durian.

Mohd Al Azzahari (dua dari kanan) melayan pelanggan yang mahu membeli durian di gerainya di di Jalan Langgar, Alor Setar.
Mohd Al Azzahari (dua dari kanan) melayan pelanggan yang mahu membeli durian di gerainya di di Jalan Langgar, Alor Setar.

"Kami menjangkakan musim durian akan habis mungkin selepas hari raya Aidiladha iaitu kira-kira dalam tempoh lebih sebulan daripada sekarang," ujarnya.

Tambahnya, gerai tersebut dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sebelum ditutup pada jam 10 malam dan semua jenis durian pula dijual sekitar RM10 sehingga RM30 sekilogram.

"Gerai kami ini akan mula meriah pada sebelah petang terutamanya waktu orang balik kerja. Kemeriahan tersebut dapat dirasai sehingga waktu malam. Ada yang datang bersendirian malah ada juga yang datang bersama keluarga masing-masing," katanya.