Rapat sah solat jemaah di Johor berkuat kuasa 13 Jun

Mohd Fared pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar pada Isnin
Mohd Fared pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri ini kini dibenarkan dengan merapatkan saf berkuat kuasa serta merta pada Isnin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelaksanaan solat berjemaah itu juga akan tertakluk kepada beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilonggarkan.

Beliau berkata, pelaksanaan itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Aktiviti mengimarahkan masjid dan solat jemaah di masjid serta surau di seluruh negeri ini dibenarkan dengan cara merapatkan saf. Namun, setiap jemaah yang hadir digalakkan membawa sejadah sendiri.

“Selain itu, pelitup muka masih dikekalkan manakala jemaah tidak digalakkan bersalaman. Tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada had umur untuk hadir ke masjid dan surau,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar pada Isnin.

Pada 28 Mac lalu, media melaporkan Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik.

Bagaimanapun, ketika itu jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.

Mohd Fared berkata, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti Kelas Pengajian Takmir, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Majlis Zikir dan seumpamanya turut dibenarkan

"Segala aktiviti memasak dan jamuan adalah dibenarkan dalam kawasan masjid dan surau termasuk aktiviti bermalam.

"Bagi Majlis Perkahwinan dibenarkan untuk diadakan bagi masjid dan surau yang mempunyai dewan serbaguna," katanya.