Yakin Sahruddin boleh bawa kemenangan untuk PN Johor

Abdullah Husin
Abdullah Husin
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pas Johor yakin Datuk Dr Sahruddin Jamal yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Johor mampu membawa kemenangan dan kemajuan kepada gabungan itu di negeri tersebut.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya akan menyokong Dr Sahruddin menerajui kepimpinan PN di Johor.

"Pas Johor mendoakan semoga Datuk Dr Sahrudddin dan seluruh saf kepimpinan PN Johor terus beristiqamah dan bersemangat memikul tanggungjawab ini dengan jayanya.

"Semoga PN Negeri Johor akan terus maju dan mencapai kemenangan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Pada Sabtu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan mengumumkan Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor berkuat kuasa serta-merta.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam semalam yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.

Mereka termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Star Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP); Datuk Seri Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.

Sementara pada Rabu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Dr Sahruddin sebagai Pengerusi (Bersatu) Johor bagi menggantikan beliau.