Sukarelawan kutip 1 tan sampah di Hutan Lipur Gunung Pulai 1

Sebahagian sukarelawan program Clean Up The Word di Hutan Lipur Gunung Pulai 1.
A
A

PONTIAN - Bukan sahaja plastik dan sisa makanan, tetapi sampah seperti lampin pakai buang dan karpet turut ditemui di Hutan Lipur Gunung Pulai 1 yang mempunyai kawasan air terjun semula jadi.

Lebih membimbangkan, jumlah sampah sarap yang dikutip sewaktu program Clean Up The World 2019 oleh Persatuan Belia Sekawan dan Koperasi Sri Sekawan Kulaijaya Berhad mencecah hampir 1 tan.

Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulaijaya Berhad, Jamalludin Abdul Hamid berkata, sikap pengunjung yang tidak mengambil berat soal kebersihan dikenal pasti menjadi punca utama lambakan sampah di Hutan Lipur Gunung Pulai 1.

Lebih membimbangkan, sisa makanan yang dibiarkan di atas tanah akan mengundang kehadiran lalat dan seterusnya tikus yang menjadi punca utama penularan penyakit kencing tikus atau leptospirosis.

“Penyakit kencing tikus bukan perkara baharu. Hutan Lipur Gunung Pulai 1 pernah ditutup sebelum ini kerana wabak penyakit ini.

“Namun, ia seakan tidak memberi pengajaran kepada orang ramai yang datang ke sini agar mengutamakan soal kebersihan,” katanya.

Jamalludin memberitahu, jumlah pengunjung ketika musim cuti sekolah mencecah hampir 10,000 orang manakala pada cuti umum seperti Hari Pekerja dan Tahun Baharu Cina jumlahnya meningkat kepada 13,000.

“Kami mengingatkan pengunjung supaya mereka membawa sampah turun dari kawasan gunung dan air terjun.

“Ini bagi mengelak sampah berlonggok di kawasan gunung dan air terjun. Kawasan rekreasi ini merupakan kawasan awam yang mana pengunjung perlu menjaga kebersihan,” katanya.

Ditanya tentang program tersebut, katanya pihaknya berbesar hati dengan kerjasama diberikan Majlis Perbandaran Kulai ( MPKu), Desa Lestari Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, IRDA dan Jabatan Perhutanan.

“Program turut mendapat kerjasama dari pengunjung yang hadir. Seramai 300 orang menyertai program bagi membersihkan kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai 1,” katanya.