Jumpa duit bukan rezeki terpijak

A
A

PERLUKAH penemuan wang serendah RM5 dihebahkan secara besar-besaran? Apa yang perlu dilakukan jika kita menjumpainya?

Menurut Pegawai Syariah di Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Ustaz Muhammad Arham Munir Merican Amir Feisal Merican, dalam situasi itu, kaedah sepatutnya adalah menyerahkan harta tercicir itu pada pihak pengurusan tempat tersebut atau pihak berkuasa seperti polis.

Ujar beliau, tujuannya bagi memastikan pemilik asal kembali dan mencari harta tersebut, beliau boleh menjumpainya semula.

"Sebagai contoh, duit tercicir di masjid, pemilik asal mungkin akan kembali dan bertanya kepada ahli jawatankuasa masjid atau seseorang yang kehilangan dompet mungkin akan melaporkannya kepada pihak polis," katanya.

Beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang mengambil jalan mudah dengan memasukkannya ke dalam tabung masjid.

Walaupun, ia tindakan yang baik, jelas beliau, pendekatan yang sepatutnya adalah memberikannya kepada pihak pengurusan kerana bimbang pemilik asal datang menuntutnya.

"Mungkin bagi kita RM5 itu kecil, namun bagi pemilik asalnya, kita tidak tahu. Pihak pengurusan pula harus bijak menguruskannya. Ada masjid yang ada papan khas untuk barang-barang hilang, ada juga yang menyimpannya dan apabila ada yang datang menuntut, akan ditanya soalan-soalan berkaitan supaya dapat dipastikan pemilik asalnya," katanya.

Muhammad Arham Munir Merican berkata, ia penting kerana Hifzul Mal atau penjagaan harta merupakan salah satu daripada maqasid syariah (tujuan syariat).

Jelas beliau, Islam sangat menitikberatkan isu pemilikan harta berdasarkan firman ALLAH SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil...” (Surah an-Nisa': 29)

Selain itu, ujar beliau, Nabi Muhammad SAW telah menegaskan tentang penjagaan hak harta ini dalam khutbah Wada’.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Apakah hukum mengambil dan menggunakan barang tercicir? Jawab Muhammad Arham Munir Merican: "Pada asasnya hukum mengambil dan menggunakan barang tercicir adalah haram.

"Namun, ia diharuskan dengan niat bukan untuk kegunaan peribadi tetapi atas dasar menjaga amanah dan ingin memastikan barang itu dapat kembali pada pemilik asal."

Katanya, jika barangan yang dijumpai itu rendah nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang nilainya kecil, seseorang itu perlu mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya.

Sekiranya barangan yang dijumpai itu rendah nilainya dan barang itu tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan, ia tidak harus mengumumkannya.

Bukan rezeki

Bagaimana pula dengan pernyataan berbunyi: "Jika jumpa duit, perlu ambil kerana ia rezeki terpijak!."

Menjawabnya, Muhammad Arham Munir menegaskan, benar ia satu bentuk rezeki, namun bukan rezeki ke atas duit itu.

USTAZ MUHAMMAD ARHAM MUNIR MERICAN
USTAZ MUHAMMAD ARHAM MUNIR MERICAN

"Ia adalah peluang kita membuat pahala dengan menjadi pemegang amanah dan membantu mereka yang kehilangan duitnya untuk mendapatkannya kembali," ujarnya.

Kepada mereka yang pernah 'terguna' duit yang dijumpainya, jelas beliau, andai diketahui pemilik asal, pulangkanlah.

"Jika tidak diketahui pemiliknya, kembalikanlah ke tempat duit itu dijumpai dan buatlah hebahan selama tiga hari atau lebih mengikut anggaran nilai barang tersebut.

"Tanyakanlah kepada pihak pengurusan tempat itu sekiranya ada yang datang mencari.

"Sekiranya di dalam jangka waktu itu tidak ada orang yang menuntut, maka, ia perlu berazam untuk membayarnya kembali sekiranya ia dituntut atau serahkan nilai duit itu kepada Baitulmal," jelasnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia