Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Abang Ahmad Urai

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Menzahirkan ucapan sama menerusi catatan di Facebook Istana Negara ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Abang Ahmad Urai dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar selain tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

Selain itu, Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

"Yang di-Pertuan Agong amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham dan menyifatkan pemergian Abang Ahmad Urai sebagai kehilangan besar kepada negeri Sarawak serta negara," menurut catatan itu.

Abang Ahmad Urai, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya, Kuching pada kira-kira 12.30 tengah malam.

Dilahirkan di Kuching pada 26 Jun 1933, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara menggantikan Tan Sri Benedict Stephens dari 12 Julai 1988 hingga 9 Julai 1990.

Sebelum itu, Allahyarham memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dari 29 Julai 1985 hingga 10 Julai 1988.

Abang Ahmad Urai juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 13 November 1984 selepas dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Muda di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada 1976 di bawah kepimpinan Tun Abdul Rahman Yaakub. - Bernama