LIMA’19 Pengunjung teruja masuk kapal selam

Kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dipamerkan pada pameranLIMA'19 edisi ke-15 di Resort World Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dipamerkan pada pameranLIMA'19 edisi ke-15 di Resort World Langkawi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Kunjungan seorang ibu dan anak perempuannya ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) untuk mengimbau memori datang ke acara sama 28 tahun lalu, teruja apabila terpilih untuk menaiki kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.

Nurul Dafila Nor Azlizan, 34, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, berkata semasa kunjungan pertama edisi sulung LIMA itu, dia yang berusia enam tahun datang bersama ibu dan ayahnya.

Katanya kali ini dia datang bersama ibunya Norela Ibrahim, 55, merancang untuk bergambar sama seperti 28 tahun lalu apabila pameran segmen udara dibuka kepada orang ramai mulai Jumaat.

"Jadi sebelum pameran segmen udara dibuka esok kami ambil kesempatan mengunjungi segmen maritim LIMA'19 di Resorts World Langkawi (RWL).

"Gambar yang diambil kemudian dihantar untuk menyertai peraduan swafoto anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencari pengunjung bertuah segmen maritim yang melayakkan merasai pengalaman masuk ke dalam kapal tersebut," katanya ketika di temui di RWL di sini, semalam.

Nurul Dafila dan Norela merupakan antara lima pengunjung dari kalangan orang awam yang bertuah kerana terpilih untuk menaiki kapal selam Scorpene tersebut.

"Kami luangkan masa lebih 30 minit, di dalam tadi saya dan ibu diberi pendedahan ringkas mengenai pelbagai aspek berkenaan kapal selam Scorpene seperti apa yang dibuat oleh kru, sistem dalam kapal selam tersebut,” kata kakitangan swasta itu.

LIMA'19 berlangsung di RWL dan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mulai 26 hingga 30 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah 406 syarikat - 206 tempatan dan 200 asing yang kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA'19.

Pameran LIMA’19 edisi ke-15 ini dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan. - Bernama