Wajib guna nombor siri sijil VTA sah

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pendaftaran kenderaan motor menerusi sistem e-Daftar diwajibkan menggunakan nombor siri Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) yang sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula 1 April 2019.

Menurut JPJ dalam satu kenyataan, setiap pengeluar kenderaan serta pihak berkenaan perlu mematuhi ketetapan itu bagi mengelakkan sebarang kesukaran atau sekatan terhadap proses pendaftaran kereta masing-masing.

“Pengeluar kenderaan hendaklah memastikan mereka telah mempunyai medan data berkaitan nombor siri sijil VTA di dalam sistem e-Daftar masing-masing sebelum 31 Mac 2019 (Ahad ini) seperti mana spesifikasi yang ditetapkan pihak JPJ.

“JPJ menguatkuasakan perkara ini bagi memastikan setiap kenderaan motor yang akan didaftarkan serta dilesenkan mempunyai kelulusan VTA yang sah selain sebagai instrumen kawalan dan sekatan terhadap mana-mana pihak yang ingkar mendapatkan kelulusan VTA daripada pihak JPJ,” menurut kenyataan itu.

VTA merupakan proses mandatori terhadap kenderaan model baharu sebelum dibenarkan untuk didaftarkan dan dilesenkan oleh pihak JPJ.

Proses VTA ini dikuatkuasakan bagi memastikan setiap model baharu kenderaan tersebut mematuhi ciri-ciri pembinaan dan spesifikasi seperti mana ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.

Sehubungan itu, pihak JPJ menasihatkan semua pengeluar kenderaan mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan sistem e-Daftar masing-masing berfungsi dengan baik bagi mengelakkan sebarang masalah semasa proses pendaftaran kenderaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: