Persediaan PRU15 lebih penting berbanding desak bubar parlimen

Najmil Faiz
Najmil Faiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) wajar mengutamakan persediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, setiap ahli parti perlu rasional dan terbuka bagi memberi ruang dan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi mengatur strategi supaya UMNO memenangi PRU15.

"Sejak berlangsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, PAU Khas hinggalah Konvensyen BN, soal bila PRU15 akan diadakan sentiasa menjadi topik yang hangat. Keputusan membubarkan parlimen bukan terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri dan proses ini perlu difahami oleh seluruh kepimpinan parti dan akar umbi.

"Perdana Menteri akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi UMNO, biro politik, ahli majlis tertinggi dan kepimpinan BN pusat. Keputusan ini akan turut melibatkan persetujuan kabinet untuk memberikan mandat kepada Perdana Menteri bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, desakan sesetengah pihak yang mahukan Perdana Menteri mendedahkan tarikh pembubaran parlimen adalah tidak wajar.

"Tarikh pilihan raya selama ini adalah rahsia dan tidak pernah dibincangkan oleh mana-mana Perdana Menteri terdahulu. Keputusannya mestilah menguntungkan parti dan kita tidak perlukan parasit yang sekadar menangguk di air keruh.

"Buat masa sekarang biarlah kita di akar umbi ini memastikan UMNO sentiasa bersedia menghadapi PRU15 dan merapatkan ukhwah sesama kita," katanya.

Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU15 adalah kumpulan sebenar kemaruk kuasa.

Beliau secara sinis berkata, ‘pandangan’ diberikan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu kemungkinan atas kebimbangan terhadap parti diterajuinya

Pada Jumaat, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas menganggap pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU15 adalah kumpulan yang kemaruk kepada kuasa.

Katanya, penolakan dan saranan supaya PRU15 diadakan sehingga tempoh tamat penggal Parlimen ke-14, berakhir Jun tahun depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.