Strategi berani KPM mansuh PT3

PT3
PT3
A
A
A

PENTAKSIRAN Tingkatan Tiga (PT3) yang dilaksanakan sejak tahun 2014 dan dimansuhkan mulai tahun ini membawa transformasi besar kepada sistem pendidikan nasional di Malaysia.

Sistem pendidikan negara sedia ada telah dibentuk dengan pelaksanaan lima ujian awam kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PT3, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sejajar dengan pembangunan negara dan peredaran zaman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyelia sistem pendidikan nasional terus mengimplementasikan variasi perubahan khususnya dalam aspek ujian-ujian awam bagi mempertingkatkan standard dan kualiti demi melahirkan generasi pelajar pintar bagi mencapai misi Dasar Pendidikan Kebangsaan.Transformasi dalam sistem pendidikan nasional mendapat perubahan cukup drastik sejak dua tahun lalu selepas pengisytiharan pandemik Covid-19 apabila peperiksaan PT3 bagi pelajar Tingkatan Tiga terpaksa ditangguhkan gara-gara sektor kesihatan tempatan telah lumpuh sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, KPM turut mengorak langkah secara berperingkat dengan melaksanakan usaha beralih kepada pembelajaran tanpa berasaskan peperiksaan awam kebangsaan.

Usaha itu semakin menjadi kenyataan dengan UPSR dimansuhkan sepenuhnya bermula 2021.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai telah memuji pendekatan dan strategi berani KPM apabila Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Khamis lalu telah mengumumkan pemansuhan PT3.

Sebaliknya, KPM mengambil pendekatan untuk memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) melalui ujian akhir sesi akademik.

Saban tahun Belanjawan Negara juga menyediakan peruntukan berjumlah berbilion ringgit bagi sektor pendidikan untuk menjamin pembangunan inklusif termasuk infrastruktur dan kualiti pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Menurut Makkal Osai, bermula tahun 2011, KPM telah memperkenalkan PBS sebagai pengganti kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR), diikuti dengan pelbagai perubahan bagi mengukuhkan lagi cara menilai kemahiran dan mengenal pasti kepintaran generasi pelajar sebelum mereka menduduki peperiksaan awam.

Kesemua usaha KPM ke arah membentuk sistem pendidikan berkonsepkan PBS mula menunjukkan keputusan positif melalui sokongan padu para guru, pelajar dan ibu bapa.

Transformasi agak cemerlang itu yang mendorong KPM untuk terus mengambil strategi lebih berani dengan melaksanakan langkah memansuhkan satu demi satu peperiksaan awam dan tertumpu kepada agenda PBS.

Pendekatan berasaskan PBS tentu sekali telah membawa sinar baharu kepada sistem pendidikan nasional dan generasi pelajar tidak perlu lagi dibebankan dengan peperiksaan awam yang banyak.

Makkal Osai menjelaskan, pendekatan PBS memberi platform terbaik kepada guru-guru untuk menilai sendiri kepintaran dan kebolehan pelajar masing-masing yang mereka kenali secara peribadi.

Pelaksanaan PBS yang membantu pguru menilai sendiri kredibiliti pelajar masing-masing turut memberi situasi yang adil dan saksama kepada mereka.

Ujar Makkal Osai lagi, PBS juga memberi peluang kepada para guru untuk menyelidik sendiri keupayaan seseorang pelajar secara terperinci.

Dengan itu, guru boleh mengenal pasti golongan pelajar yang agak lemah dalam pembelajaran dan dapat membantu pelajar berkenaan memperoleh perhatian sewajarnya serta memperbaiki kelemahan diri mereka.

Pendekatan PBS boleh dikatakan mengurangkan tekanan ibu bapa dalam menyediakan anak-anak mereka untuk menduduki peperiksaan awam, sebaliknya mereka dapat berurusan dengan guru masing-masing bagi mengenal pasti kelemahan pelajar tersebut dan melakukan langkah terbaik untuk meningkatkan kredibiliti.

Bagaimanapun, pendekatan PBS itu masih memiliki serba sedikit kekurangan dan cabaran dari segi jumlah pelajar dalam sesebuah kelas, pengagihan jadual waktu, penyediaan soalan untuk melaksanakan penilaian pada ujian akhir tahun dan sebagainya.

Justeru, kejayaan mengimplementasikan strategi baharu itu amat bergantung kepada tindakan hebat pihak KPM, sekolah, guru dan pelajar serta ibu bapa yang perlu meletak kepercayaan tinggi terhadap pendekatan berkenaan agar misi asas untuk melahirkan generasi pelajar pintar melalui sistem pendidikan tanpa peperiksaan awam tercapai.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor