Penyelia maut nahas tiga kenderaan

Keadaan Porsche Macan yang dipandu mangsa dalam nahas tiga kenderaan di KM55.6 di Lebuh Raya Karak hala Bentong pada Sabtu. Foto PDRM
Keadaan Porsche Macan yang dipandu mangsa dalam nahas tiga kenderaan di KM55.6 di Lebuh Raya Karak hala Bentong pada Sabtu. Foto PDRM
A
A
A

KUANTAN - Seorang penyelia maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan tiga kenderaan jenis Porsche Macan, Proton Waja dan Saga FLX di Kilometer (KM)55.6 Lebuhraya Karak hala Bentong pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh@ Mohamad Daud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Lee Cheng Yik, 22, beralamat di Sungai Buloh, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Porsche dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bentong manakala pemandu kereta Proton Waja bergerak dari Kuala Lumpur ke Bentong dan pemandu Saga FLX dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

"Setibanya di lokasi kejadian dipercayai pemandu Porsche cuba memotong Proton Waja dan melanggar bahagian lampu belakang sebelah kanan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berpusing.

"Ia menyebabkan Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 71 tahun melanggar besi pembahagi jalan manakala Porsche melanggar bahagian belakang Saga FLX dan terus terbabas terjunam ke lorong jalan keluar stesen minyak Shell di sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu Porsche telah meninggal dunia di lokasi tempat kemalangan manakala pemandu Proton Waja dan Saga FLX yang berusia 33 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Bedah siasat akan dijalankan selepas ujian saringan Covid-19 diperoleh.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.