Tujuh selebriti gegar Lenggeng

Suhaimi (tengah) pada majlis Pra Pelancaran Karnival Lenggeng Sejahtera, semalam.
Suhaimi (tengah) pada majlis Pra Pelancaran Karnival Lenggeng Sejahtera, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai tujuh selebriti bakal memeriahkan Karnival Lenggeng Sejahtera yang dianjurkan di Pentas Budaya Kampung Rawa Ulu, Pantai, di sini, pada 6 dan 7 April nanti.

Antara selebriti yang terlibat ialah Mustafa Kamal, Ezany Nizariff, Datuk Rosnani Jamil, Mubarak Majid, S Mariam, Ayu Damit dan Siti Fairuz.

Selain berniaga, mereka juga akan mendekatkan diri dengan penduduk setempat melalui produk jualan masing-masing.

ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim berkata, karnival berkenaan yang julung kalinya diadakan dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (Bisdec).

Katanya, sebanyak 40 agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar turut membuka gerai pameran bagi mempromosikan sektor pertanian dan pelancongan.

"Sebagaimana semua sedia maklum, Lenggeng sangat terkenal dengan penghasilan serai, nasi lemak ikan sembilang, inap desa, pelancongan dan aktiviti riadah yang akan dipromosikan bagi mewujudkan peluang perniagaan," katanya pada majlis pra pelancaran karnival berkenaan di Dewan Masyarakat Pantai, semalam.

Hadir sama, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bisdec, Norleza Abd Karim dan Rudysham Abdul Raof.

Katanya, lebih 1,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan karnival berkenaan. "Majlis pembukaan akan disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun manakala penutup akan dirasmikan Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Artikel Berkaitan:

"Karnival yang dirancangkan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan baharu meletakkan generasi muda serta penduduk keseluruhannya menjadi lebih efisien serta sejahtera dalam kehidupan," katanya.

Beliau berkata, pada majlis berkenan pihaknya turut melancarkan Homestay Lenggeng Sejahtera, sekali gus menubuhkan Koperasi Lenggeng Sejahtera yang bertujuan merencanakan pembangunan di kawasan ini.