Tanam semula pokok hutan: MB Johor

Osman (tiga, kanan) melihat buah-buahan hutan yang terdapat di Taman Eko Rimba Gunung Belumut, Kluang.
Osman (tiga, kanan) melihat buah-buahan hutan yang terdapat di Taman Eko Rimba Gunung Belumut, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Kerajaan Johor akan meminta Jabatan Perhutanan Negeri Johor menanam semula pokok hutan dan jenis tumbuhan yang menjadi makanan haiwan supaya haiwan-haiwan ini tidak mengganggu penduduk.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, selain itu penebangan hutan tidak terkawal dan tindakan manusia yang mengambil hasil hutan turut menyebabkan haiwan liar terutama gajah berkeliaran di kawasan kampung.

“Dahulu di kawasan hutan ini banyak pisang hutan yang menjadi makanan gajah, namun sekarang sudah ditebang dan dimusnahkan dan sebab itu saya minta Jabatan Hutan untuk tanam semula pokok-pokok hutan yang boleh dijadikan makanan haiwan.

“Kerajaan negeri juga mengambil berat penghijrahan haiwan-haiwan liar ini ke kawasan desa kerana selain mendatangkan kemusnahan tanaman dan harta benda dengan kerugian yang besar, ianya juga boleh membahayakan nyawa penduduk,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2019 di Taman Eko Rimba Gunung Belumut, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhiruddin Mahmud; Exco Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Ali; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat.

Menurutnya, selain itu kerajaan negeri juga aktif menggiatkan program dan aktiviti penanaman pelbagai spesies pokok sesuai di kawasan terbuka, kawasan bencana alam dan kawasan pesisiran pantai di Johor.

“Pada tahun lalu, 450,000 pokok ditanam melalui pelbagai program dan pada tahun ini pula, kita sasar 70,000 pula dan ini bertujuan bagi memulihara dan memelihara khazanah dan sumber hutan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memelihara semua pokok dan tindakan hukuman berat akan diambil terhadap sesiapa yang menebang pokok tanpa kebenaran terutamanya di dalam hutan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyokong saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar rakyat minum satu sudu minyak sawit setiap hari kerana kajian tentang khasiatnya telah terbukti seperti penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, dalam kajian bersama UPM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kelapa sawit kaya dengan vitamin A dan E serta sumber penting makanan untuk terus kekal sihat.

“Ada produk minyak sawit ini telah dikomersialkan dalam bentuk kapsul serta serbuk dan mungkin pada masa akan datang akan ada minyak kelapa sawit dara sama yang mempunyai khasiat yang sama seperti minyak kelapa dara,” katanya.