Beza pendapat tak jejas kempen PRK: Anwar

Anwar (tiga dari kiri) bersama kepimpinan PH ketika hadir pada majlis pertemuan itu.
Anwar (tiga dari kiri) bersama kepimpinan PH ketika hadir pada majlis pertemuan itu.
A
A
A

RANTAU - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kempen PRK Dun Rantau tidak terjejas dengan 'konflik' perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin parti itu.

Menurutnya, ini kerana perbezaan pendapat merupakan perkara kecil dan diizinkan demi kebaikan sesebuah parti. "Perbezaan pendapat sikit ok..tapi tumpuan sekarang (PRK) Rantau.

"Semua dah setuju (pemimpin PKR) untuk berkempen. Jangan laga-lagakan lagi,"katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Pertemuan Bersama Jentera PRK Dun Rantau, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PKR ketika ini. Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menambah, soal perbezaan pendapat tidak perlu diperbesarkan lagi kerana fokus utama adalah untuk berbakti kepada rakyat.

"Saya memang konsisten. Semua perkara lain boleh tidak setuju. Tidak mengapa, yang penting selesai masalah rakyat. "Pastikan ekonomi berkembang dan kita bekerja sebagai satu pasukan,"katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

Nurul Izzah yang juga anak sulung Anwar turut mencetuskan kontroversi menerusi wawancara bersama The Straits Times Singapura apabila secara terbuka mengkritik pentadbiran Dr Mahathir serta melabelkan pemimpin nombor satu negara itu sebagai 'bekas diktator'.

Susulan kenyataan itu, Nurul Izzah dikritik pemimpin PH termasuk parti PKR.

Artikel Berkaitan: