Tok Mat dulu tak berkesan sebagai MB: Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

RANTAU - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan didakwa gagal menjalankan tugas dengan berkesan ketika memegang jawatan itu selama tiga penggal sebelum ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dapat dilihat apabila tiada pembangunan di Rantau mahupun Negeri Sembilan keseluruhannya.

"Tiga penggal jadi menteri besar, cuba tengok Rantau. Dulu ketika saya di (Parlimen) Permatang Pauh, ada universiti, maktab perguruan, sekolah menengah, hospital baru, itu pada kita besarkan.

"Ini di Rantau tinggal rantau. Tapi takkanlah (Mohamad) semua buruk, ada baiknya juga cuma sebagai Menteri Besar tak berkesan untuk bangunkan bukan sekadar Rantau tapi Negeri Sembilan," katanya ketika berucap dalam program Pertemuan Bersama Jentera PRK DUN Rantau di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengarah PRK DUN Rantau PH, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH, Dr S Streram.

Dalam pada itu, Anwar memberi peringatan kepada jentera PH agar tidak memandang remeh PRK kali ini.

"Pertarungan ini kita tahu memang sengit sebab bukan kuasa dan wang digunakan untuk tawan hati rakyat. Tapi rakyat percaya kepada kita, itu yang penting.

"Sebab itu kita kena kerja kuat. Bagi saya tak ada kawasan pilihan raya yang mudah," katanya.

Artikel Berkaitan: