Bale mungkin kekal beraksi di La Liga

Bale - Foto G3.com
Bale - Foto G3.com
A
A
A

PEMAIN sayap Wales, Gareth Bale berkemungkinan akan terus beraksi dalam saingan La Liga pada musim depan selepas Getafe mempertimbangkan untuk menandatangani pemain itu.

Perkara tersebut diakui sendiri, Presiden Getafe, Angel Torres yang memberitahu bahawa ejen Bale, Jonathan Barnett ada menawarkan kepada pihaknya untuk menandatangani bintang Wales pada musim panas ini.

“Saya ada bercakap dengan ejen Bale sebelum ini dan mereka telah menawarkannya kepada kami.

“Kami akan mempertimbangkan pelawaan itu dan berbincang dengan barisan kejurulatihan dan pegawai teknikal kelab,” katanya.

Untuk rekod, Bale, 32, kini merupakan pemain bebas selepas mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan Real Madrid sejurus sahaja kontraknya bersama kelab itu tamat pada penghujung bulan ini.

Susulan berita tersebut, terdapat beberapa kelab yang tampil menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Bale selepas kejayaan beliau membantu Wales layak ke Piala Dunia Qatar.

Difahamkan, Newcastle, Rangers dan Celtic merupakan antara pasukan yang sangat berminat mahu mendapatkan khidmat pemain penyerang itu, selain turut berpotensi untuk kembali ke Wales selepas Cardiff City turut menunjukkan minat yang sama.