KPT bangunkan EduData untuk pihak berkepentingan

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membangunkan platform EduData bagi membekalkan maklumat kepada pelbagai pihak berkepentingan.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucaptama di EduData Summit 2022 (EDS) di New York pada Jumaat berkata maklumat dalam EduData dikumpulkan daripada platform seperti MyMOHEs iaitu sistem yang digunakan untuk mengumpul data dari semua universiti awam dan e-IPTS untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Noraini berkata, data berkenaan dapat membantu dalam merangka inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk menambah baik kurikulum dan latihan sebelum pelajar memasuki pasaran kerja yang kompetitif.

"Jadi, kami dapat mempergiatkan kolaboratif akademik-industri untuk jangka panjang bagi merapatkan jurang antara kelayakan graduan kami dan pekerjaan yang tersedia di pasaran," katanya menerusi ucaptama bertajuk ‘Pengalaman Malaysia Melaksanakan Pembelajaran Sepanjang Hayat Yang Mampan dan Inklusif melalui Edudata' itu.

Selain itu, beliau berkata data yang diperoleh dapat menjadi alat pengukuran penarafan yang mencerminkan kualiti IPT di Malaysia.

"Walaupun kami akui bahawa kualiti pendidikan tinggi boleh diukur dalam pelbagai cara, kami juga percaya ranking mencerminkan kualiti, ini terbukti apabila kesemua lima universiti penyelidikan kami disenaraikan dalam 50 terbaik universiti terbaik di Asia.

"Selain itu, salah satu universiti kami (Universiti Malaya) disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dalam QS World Universities Ranking 2023, secara keseluruhan, empat universiti disenaraikan dalam 200 teratas,” katanya.

Noraini berkata, pihaknya menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025 dan untuk mencapai sasaran ini, universiti tempatan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah program cawangan luar negara atau offshore.

Katanya, pihak KPT turut memberi fokus terhadap kursus pentauliahan mikro dan Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Kini terdapat 11,000 kursus pentauliahan mikro ditawarkan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti kursus pendek di institusi yang berbeza dan menggabungkannya untuk ditukar menjadi pensijilan, katanya.

EDS, yang berlangsung pada 8 hingga 10 Jun di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, merupakan platform perbincangan dan perkongsian amalan terbaik antara pakar mengenai kepentingan data dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti. - Bernama