1,000 bekas aktivis bantu pulihkan ekonomi Baling

Azlan Shah, Ramlah, Rizawani dan Ismail pada sesi wacana, semalam. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor.
Azlan Shah, Ramlah, Rizawani dan Ismail pada sesi wacana, semalam. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

BALING - Kira-kira 1,000 bekas aktivis demonstrasi Baling 1974 akan dihimpunkan bagi kajian khusus memerangi kemiskinan di daerah ini.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia, Datuk Mazlan Aliman berkata, mereka yang kini menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri akan membantu mengenal pasti projek pertanian dan penternakan yang sesuai dijalankan di Baling.

Menurutnya, kajian tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa kementerian berkaitan dalam tempoh tiga bulan.

"Kita tahu sebahagian daripada penduduk Baling terlibat dengan kawasan getah dan harga komoditi itu juga sekarang tidak stabil.

"Jadi saya harap dalam tempoh tiga bulan ini, kita boleh buat kajian khusus mengenai Baling untuk dijadikan satu sampel atau pilot projek bagaimana kita membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika melakukan tinjauan bersama pegawai dan kakitangan LPP Kedah di tapak projek fertigasi di Kampung Charok Bemban, semalam.

Tambahnya, beliau akan bertemu Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bagi membincangkan perkara itu.

"Saya yakin ia akan menjadikan projek berimpak tinggi yang membantu kerajaan menangani kawasan-kawasan miskin dalam negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut berkaitan penglibatan bekas aktivis bagi kajian yang akan dijalankan itu, beliau berkata, antara pemimpin terlibat adalah Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

"Mereka bukan lagi nak datang cerita kisah lalu, masing-masing telah bersama dalam kerajaan, sebahagian sudah menjadi menteri dan timbalan menteri.

"Jadi sekarang bagaimana political will kita (keinginan politik). Jika semua memainkan peranan (aktivis), saya tidak nampak mengapa Baling akan kekal miskin," katanya.

Turut hadir, Pengarah LPP Kedah, Dr Mohamad Azizi Mohd Atar dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling, Mohd Hafiz Sa'are.