Rukun Negara perlu didukung rakyat Malaysia

Dari kiri: Azlan Shah, Ramlah, Rizawani dan Ismail pada sesi wacana, semalam. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor.
Dari kiri: Azlan Shah, Ramlah, Rizawani dan Ismail pada sesi wacana, semalam. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memainkan peranan yang jelas dalam menjadikan Rukun Negara sebagai dasar dan agenda negara yang sepatutnya diperkasakan.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sekiranya kerajaan gagal berbuat demikian, dibimbangi bukan sahaja soal perpaduan akan hancur, malah negara juga akan mengalami kegagalan dalam melahirkan masyarakat yang lebih adil.

"Kerajaan adalah badan berkuasa yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjalankan tugas-tugas membina kenegaraan.

Kerajaan hari ini perlu berbuat sesuatu, jika tidak, perpaduan akan menjadi semakin longgar dan keadaan menjadi haru-biru apatah lagi hak kebebasan bersuara kini semakin disalah gunakan oleh sesetengah pihak.

Bagi saya inilah tugas kerajaan, bila mentadbir negara maka Rukun Negara mestilah dijadikan sebagai satu agenda negara yang perlu diketengahkan.

Walaupun sesebuah parti politik atau gabungan parti politik berjaya menjadi kerajaan untuk mentadbir negara, namun pada masa sama rakyat tidak bersatu padu, itu masih tidak dianggap sebagai kejayaan.

Salah satu mukadimah Rukun Negara adalah melahirkan perpaduan dalam kalangan rakyat, tapi realitinya bagaimana mahu lahirkan perpaduan jika sekolah yang ada di negara ini pun sudah ada beberapa jenis yang akhirnya menjadikan penekanan Rukun Negara menjadi tidak sekata.

Di peringkat sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, mungkin tiada masalah memandangkan silibus dan buku teks yang digunakan adalah sama, tapi bagaimana dengan sekolah-sekolah swasta yang ada di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Adakah penekanan Rukun Negara diberi sama seperti mana sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Jika tidak sama, bagaimana anak-anak ini boleh belajar, menghayati dan memahami tentang Rukun Negara dan inilah antara perkara yang patut diberikan perhatian oleh kerajaan supaya rasa sayang terhadap lima prinsip Rukun Negara dapat dipupuk dalam kalangan rakyat.

Apabila Rukun Negara telah dijadikan sebagai satu dasar negara maka diharapkan setiap warganegara Malaysia mendukung prinsip ini dengan satu kesedaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara bangsa.

Tugas warganegara Malaysia adalah untuk menerima Rukun Negara sebagai satu falsafah atau ideologi kenegaraan yang mesti didukung untuk kepentingan bersama.

Rukun Negara belum punah, cuma kita yang tidak menghayatinya dan ia kerana kita tiadanya rasa cintakan negara," katanya.