Bursa Malaysia akhiri minggu ini dengan prestasi rendah

Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan prestasi rendah didorong oleh jualan berterusan secara menyeluruh. - Gambar hiasan
Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan prestasi rendah didorong oleh jualan berterusan secara menyeluruh. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan prestasi rendah dan melepasi paras psikologi 1,500 pada Jumaat, didorong oleh jualan berterusan secara menyeluruh, sejajar dengan prestasi bursa serantau yang lemah, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah 15.76 mata atau 1.04 peratus kepada 1,493.95 daripada 1,509.71 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 4.03 mata kepada 1,505.68, yang merupakan paras tertinggi harian, dan mencecah paras terendah 1,493.32 pada sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 667 kepada 254 manakala 400 kaunter tidak berubah, 953 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.26 bilion unit bernilai RM1.69 bilion daripada 2.88 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Khamis.

Peniaga berkata, Bursa Malaysia rendah untuk keseluruhan sesi dagangan, sejajar dengan bursa serantau yang mengambil petunjuk daripada kejatuhan semalaman saham Amerika Syarikat (AS) dan bon kerajaan, menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Jumaat, berikutan pelabur menjangka data inflasi AS yang tinggi.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa indeks serantau utama kebanyakannya negatif kecuali saham China berikutan pelabur terus berhati-hati mengenai potensi lebih banyak kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).

"Pelabur menjangka Fed akan menaikkan kadar faedah utamanya pada minggu depan sebanyak separuh daripada mata peratusan, kenaikan kedua berturut-turut dua kali ganda daripada kenaikan biasa, dengan satu pertiga pada Julai.

"IHP AS dijangka kekal melebihi lapan peratus untuk bulan ketiga berturut-turut dan ini akan mengekalkan kemungkinan pendirian menyokong kadar faedah tinggi yang berpanjangan oleh Fed,” katanya.

Sementara itu, Pak Leng berkata, Biro Statistik Kebangsaan China melaporkan inflasi tahunan sebanyak 2.1 peratus, di bawah anggaran 2.2 peratus manakala Indeks Harga Pengeluar dalam unjuran 6.4 peratus.

"Kami percaya sentimen pasaran akan terus berhati-hati dalam keadaan prestasi global yang lemah walaupun terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah.

"Kami turut menjangka jualan baru-baru ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada paras menarik berdasarkan penilaian mereka yang murah.

"Oleh itu, kami menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,490 hingga 1,510 pada minggu depan, dengan paras sokongan segera pada 1,475 dan paras halangan pada 1,520,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.91 peratus kepada 3,180.42, Nikkei 225 Jepun susut 1.49 peratus kepada 27,824.29, Hang Seng Hong Kong berkurangan 0.29 peratus kepada 21,806.18 dan KOSPI Korea Selatan turun 1.13 peratus kepada 2,595.87.

Bagaimanapun, Indeks Komposit SSE China meningkat 1.42 peratus kepada 3,284.83 manakala Shenzhen Component naik 1.90 peratus kepada 12,035.15.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM8.75, Public Bank berkurangan empat sen kepada RM4.53 dan CIMB susut tiga sen kepada RM5.04.

Petronas Chemicals menambah enam sen kepada RM9.70 dan IHH Healthcare naik lima sen kepada RM6.45.

Daripada saham aktif, LGMS meningkat empat sen kepada 75.5 sen, MQ Technology merosot setengah sen kepada lima sen, Top Glove berkurangan sembilan sen kepada RM1.13 manakala Borneo Oil dan MNC Wireless, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 108.03 mata kepada 10,733.65, Indeks FBM Emas Shariah susut 111.51 mata kepada 10,997.24, FBM 70 berkurangan 112.61 mata kepada 13,113.58, FBM ACE turun 35.58 mata kepada 5,134.36 dan Indeks FBMT 100 merosot 105.15 mata kepada 10,429.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 101.58 mata kepada 16,420.13, Indeks Perladangan merosot 68.72 mata kepada 7,596.65 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.71 mata kepada 193.33.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.35 bilion saham bernilai RM1.47 bilion daripada 1.66 bilion saham bernilai RM1.70 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran naik kepada 400.01 juta unit bernilai RM65.98 juta daripada 300.45 juta unit bernilai RM55.52 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 509.05 juta saham bernilai RM158.21 juta daripada 923.57 juta saham bernilai RM302.22 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 196.74 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (431.19 juta), pembinaan (44.64 juta), teknologi (100.97 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (44.42 juta), hartanah (125.91 juta), perladangan (46.12 juta), REIT (5.04 juta), dana tertutup (34,000), tenaga (183.55 juta), penjagaan kesihatan (86.09 juta), telekomunikasi dan media (38.66 juta), pengangkutan dan logistik (25.17 juta) dan utiliti (22.08 juta). - Bernama