Birmingham 2022: Seirama campuran prospek pingat baharu buat Malaysia

Mun Yee - Foto Bernama
Mun Yee - Foto Bernama
A
A
A

KEM terjun negara berpeluang meraih pingat menerusi dua acara baharu dalam Sukan Komanwel iaitu 3 meter (m) papan anjal seirama campuran dan 10m platform seirama campuran.

Kedua-dua acara tersebut akan dianjurkan buat pertama kali pada temasya itu di Birmingham, England bulan depan.

Pembantu jurulatih kebangsaan, Datuk Leong Mun Yee berkata, Malaysia akan meletakkan harapan pada dua gandingan dalam 3m papan anjal serirama campuran iaitu menerusi Gabriel Gilbert Daim-Nur Dhabitah Sabri dan Muhammad Syafiq Puteh-Wendy Ng Yan Yee untuk membawa pulang pingat.

Bagaimanapun, Mun Yee berkata, pihak kejurulatihan belum memutuskan penerjun yang akan bertanding dalam 10m platform serirama campuran.

"Datuk Pandelela Rinong mempunyai peluang untuk bertanding dalam 10m platform serirama campuran namun ia bergantung pada keadaan fizikalnya memandangkan beliau akan bertanding dalam dua acara iaitu 10m platform wanita dan 10m platform serirama wanita.

"Semua negara yang menyertai dua acara baharu ini berpeluang memenangi pingat, bagi kami jika penerjun menunjukkan aksi yang baik, saya percaya kami boleh menyumbang pingat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, Mun Yee berkata, pasukan negara sedang membuat persediaan bagi menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, pada 18 Jun hingga 3 Julai ini.

Walaupun tidak menawarkan tempat untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris, Mun Yee berkata, kejohanan itu merupakan medan pemanas badan untuk anak buahnya sebelum beraksi di Pusat Akuatik Sandwell di Birmingham.

Beliau berharap mereka akan terus konsisten bermula sekarang sehinggalah menamatkan saingan dengan kemenangan di Hungary dan England kelak.

Sukan Komanwel 2022 akan bermula pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini. - Bernama