Bina keinsafan selepas dipenjara

A
A

GARA-GARA dendam, seorang lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara kerana merompak majikannya sendiri.

Semuanya berlaku lima tahun lalu. Pada 2013, Salim 37 tahun yang merupakan seorang kontraktor telah menjalankan kerja-kerja kontrak dengan sebuah syarikat tempatan.

Salim terlalu gembira kerana bayaran untuk projek tersebut adalah RM300,000 dan merupakan antara projek besar yang diperoleh syarikatnya pada tahun tersebut.

Malangnya selepas kerja-kerja dilaksanakan, lelaki tersebut yang juga merupakan bekas majikannya, enggan menjelaskan bayaran seperti tempoh yang dipersetujui.

"Saya bertindak nekad merompak lelaki berkenaan di rumahnya selepas enam bulan menunggu bayaran. Saya menjadi perancang utama dengan mengajak tiga individu lain, iaitu warga Thailand dan seorang lagi kenalan perempuan.

“Dalam rompakan tersebut kami berhasil melarikan wang tunai lebih RM40,000 bersama dua kilogram pelbagai barangan kemas milik isteri lelaki terbabit," katanya.

Salim yang kini sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun dan lapan sebatan berkata, terdesak dengan hutang yang banyak serta tidak dapat mengawal marah kerana dikhianati.

Perasaan itu menyebabkan bertindak di luar fikiran normal dengan melakukan rompakan bersenjatakan parang.

Mengimbas detik melakukan kesalahan itu, Salim berkata, dalam masa kira-kira 10 minit mereka menjalankan tugas dengan sempurna dengan membawa pulang wang tunai dan barangan kemas.

“Malangnya kepuasan mendapat hasil rompakan yang dikongsi dengan tiga individu tidak kekal lama.

“Hanya dalam masa beberapa minggu sahaja polis berjaya menghidu penglibatan kami,” katanya ketika ditemui media di Pusat Reintegrasi Kem Batu 10, di sini.

Dia yang kini menjalani hukuman berkata, individu pertama ditangkap polis ialah bekas keraninya kemudian dia dan dua lelaki warga Thailand yang turut sama terbabit difahamkan masih bebas.

Salim berkata, di samping dendam yang membara desakan terhadap hutang menjadi pendorong kuat dia menjadi perompak.

“Saya juga berdepan dengan tunggakan gaji pekerja dan bayaran barangan binaan yang lama tertunggak menyebabkan keinginan melakukan jenayah begitu tinggi.

"Saya menyesal dengan kesalahan dilakukan hingga menyebabkan terpaksa berada dalam penjara selama lapan tahun. Kesakitan akibat dikenakan lapan sebatan juga masih terasa sehingga kini,” katanya.

Kini Salim sedar, dia bukan sahaja terpaksa menggalas status sebagai banduan tetapi lebih menyedihkan apabila rumah tangga yang dibina bersama isteri hancur berkecai.

Dia juga mungkin tidak dapat melihat dua anaknya meskipun bakal bebas kira-kira tujuh bulan lagi, kerana tidak tahu di mana mereka berada.

Rogol kekasih sendiri

Lain pula ceritanya bagi Abdullah (bukan nama sebenar), 35, tahun yang tewas dalam nafsu gelora sehingga tergamak merogol kekasih sendiri.

Beliau mengakui telah bertindak ganas dengan merogol bekas kekasihnya warga negara Filipina pada 2016 yang ketika itu sama-sama mabuk setelah meminum arak.

"Ketika kejadian saya belum memeluk Islam. Saya tidak kuat dalam agama asal saya dan bebas melakukan apa sahaja yang terlintas dengan mudah. “Akibat kesalahan merogol saya dikenakan hukuman penjara selama enam tahun dan dua sebatan.

“Balasan itu amat berat untuk saya namun di sebalik semua yang tersurat, tersirat sebuah sinar harapan baharu apabila saya menemui jalan Islam dua tahun lalu ketika berada dalam Penjara Sungai Udang, Melaka,” katanya.

Abdullah mengakui hatinya kini lebih tenang apabila dapat menjalani ibadah, bersolat lima waktu dan mempunyai arah tuju kehidupan yang lebih fokus.

“Dunia hanyalah pentas hidup dan tempat kita mengumpul amal ibadah serta pahala untuk bekalan akhirat. Apa yang kekal adalah di sana nanti.

“Walaupun saya tidak sabar menunggu untuk dibebaskan tahun hadapan, namun saya lebih takut untuk berhadapan hari-hari mendatang sekiranya tidak mendapat reda ALLAH," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Abdullah berkata, beliau bersyukur dengan didikan agama yang disediakan pihak penjara dan Pusat Reintegrasi Kem Batu 10.

Semua pengalaman itu dapat menguatkan lagi keimanannya terhadap ajaran Islam bagi menjadi muslim sejati.