Wujudkan sistem Malaysia Sejahtera mudah rakyat mohon bantuan

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

BANGI - Kerajaan disaran mewujudkan jaringan keselamatan sosial nasional berpusat bagi memudahkan urusan permohonan inisiatif yang ditawarkan kementerian.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sistem yang dikenali sebagai Malaysia Sejahtera itu akan menjadi pusat sehenti bagi maklumat lengkap rakyat sekali gus membantu kerajaan mengagihkan bantuan atau inisiatif secara bersasar dan tepat kepada golongan memerlukan.

“Seperti sistem permohonan ke universiti iaitu UPU, semua orang tahu (fungsi), Malaysia Sejahtera ini kalau sesiapa yang rasa perlukan bantuan, boleh masuk ke sistem itu dan automatik tahu jenis bantuan yang diperlukan. Muat naik maklumat (peribadi) sekali sahaja.

“Perlu wujudkan sistem jaringan keselamatan yang komprehensif, mudah dicapai, cekap dan mempunyai pangkalan data yang terkini dan lengkap. Tak perlu setiap kali nak minta bantuan, kena isi borang.

“Sebenarnya bukan hanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja yang menyediakan bantuan tetapi hampir 16 kementerian lain menawarkan bantuan manakala sistem sekarang tidak ada koordinasi antara pelbagai kementerian. Rakyat tercari-cari dan setiap kali mahu memohon, mereka terpaksa mengisi pelbagai borang baharu,” katanya pada sesi menyusul titah sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Bangunan Wawasan UKM pada Jumaat.

Mengulas lanjut Noor Azlan berkata, sistem sedia ada yang digunakan kerajaan ketika ini dilihat kurang penyelarasan, variasi selain kriteria yang bertindih serta sasaran terhad kepada rakyat.

Justeru katanya, sistem pemberian daripada pelbagai kementerian tanpa penyelarasan akan menyebabkan individu yang berhak tidak mendapat bantuan sepatutnya, malah ada juga mendapat bantuan secara berlebihan.

Dalam pada itu Dr Noor Azlan turut berpandangan, kerajaan akan berdepan dengan tekanan kewangan sekiranya tiada penyelarasan berpusat ekoran pemberian bantuan secara berlebihan kepada rakyat.

“Kejayaan dikira apabila berjaya mengeluarkan rakyat daripada kebergantungan kepada kerajaan. Kerajaan boleh bantu tetapi dengan cara betul dan produktif.

“Kerajaan perlu yakinkan rakyat bahawa perancangan ekonomi ini dapat mengeluarkan mereka daripada program bantuan kerana sekiranya ramai yang masih dapat bantuan, maka ia akan membebankan kerajaan,” ujarnya.

Dr Noor Azlan yang juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi mencadangkan perkara tersebut bagi menyusul titah Al-Sultan Abdullah sempena Hari Keputeraan baginda pada Isnin lalu.