Felda perjelas pengurangan bayaran pinjaman sara hidup

Felda
Felda
A
A
A

KUALA LUMPUR - Felda hari ini menjelaskan bahawa keputusan mengurangkan bayaran Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil daripada RM1,500 sebulan kepada RM 1,000 sebulan tidak dapat dielakkan berdasarkan keadaan kewangan semasa Felda yang kritikal.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporatnya, Felda berkata ia berhadapan cabaran kewangan bagi menjelaskan komitmennya sebanyak RM500 juta setahun bagi Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka.

Ia menarik perhatian bahawa sehingga kini Felda telah menggunakan dana dalaman sekitar RM7.5 bilion untuk membiayai pinjaman peneroka.

"Keutamaan Felda pada masa ini adalah untuk melunaskan tunggakan kepada kontraktor dan pembekal terutamanya koperasi kepunyaan peneroka yang terlibat dengan kerja-kerja operasi sawit seperti angkut dan tuai.

"Jika pembayaran kepada kontraktor dan pembekal ini lewat, produktiviti kebun serta pendapatan peneroka akan terjejas," kata kenyataan itu. Menurutnya, institusi kepimpinan peneroka seperti Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) telah bersetuju bagi pelaksanaan penurunan kadar sara hidup kepada RM1,000 berdasarkan keupayaan kewangan Felda serta keputusan Lembaga Felda pada 13 Dis 2018.

"Dengan pengurangan ini, purata beban hutang peneroka bagi Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat dikurangkan daripada RM99,000 kepada RM71,000 bagi setiap peneroka yang telah mengambil pinjaman ini,” kata Felda.

Katanya lagi, pengurangan jumlah hutang peneroka ini akan membantu mengurangkan komitmen peneroka untuk membayar balik hutang kepada Felda iaitu daripada purata RM550 sebulan kepada RM390 sebulan.

Majlis Permuafakatan NGO Felda semalam dilaporkan menggesa pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling mengenai penurunan bayaran berkenaan. -Bernama

Artikel Berkaitan: