Bayi baru lahir ditinggal di gerai makan berhampiran universiti

Bayi perempuan yang ditemui orang awam di sebuah gerai makan berhampiran pintu masuk sebuah universiti di Arau pada Khamis.
Bayi perempuan yang ditemui orang awam di sebuah gerai makan berhampiran pintu masuk sebuah universiti di Arau pada Khamis.
A
A
A

ARAU – Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di gerai makan di Taman Seri Wang berhampiran pintu masuk sebuah universiti di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, bayi perempuan masih bertali pusat itu ditemui orang awam yang melalui jalan berhampiran gerai makan berkenaan.

Beliau memberitahu, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 9.10 pagi yang memaklumkan mengenai penemuan bayi di hadapan gerai di Taman Seri Wang.

“Siasatan awal mendapati pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis telah terima panggilan telefon pada jam 8.20 pagi daripada seorang perempuan yang memaklumkan telah meninggalkan seorang bayi berdekatan dengan sebuah universiti.

“Pada jam lebih kurang 8.40 pagi, pihak JKM telah ke tempat kejadian dan menjumpai bayi perempuan masih bertali pusat di dalam plastik berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, petugas kesihatan kemudiannya telah hadir di tempat kejadian pada jam 9.50 pagi dan membawa membawa bayi tersebut ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk rawatan susulan.

Menurut beliau, doktor memaklumkan bayi perempuan itu dalam keadaan sihat dan stabil.

Tambah Ahmad Mohsin, pihak polis telah mengesan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun disyaki melakukan perbuatan tersebut yang kini telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Beliau memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.