Bola sepak boleh beri kejutan: Pan Gon

Kim Pan Gon - Foto Bernama
Kim Pan Gon - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon berharap aksi cemerlang dan momentum positif melakar kemenangan ke atas Turkmenistan dapat diteruskan dalam pertembungan menentang pilihan utama, Bahrain Sabtu ini.

Menyedari Bahrain adalah pasukan yang lebih baik berdasarkan ranking dunia, Pan Gon berkata, pihaknya perlu lebih berhati-hati ketika bertemu skuad Dilmun’s Warriors pada perlawanan kedua kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Menurut jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan itu, beliau sentiasa berharap Harimau Malaya akan menguasai setiap perlawanan walaupun terpaksa mengubah pendekatan mengikut kekuatan lawan.

"Itu yang kami mahu (terus bermain dengan cemerlang) tetapi secara praktikalnya Bahrain menduduki tangga ke-89 dunia jadi kami mesti bijak mengawal permainan kerana kami perlukan mata dan sasaran kami layak (ke pusingan akhir).

"Kami akan berbincang (perlawanan menentang Bahrain) bersama pasukan, tetapi saya amat berharap suatu hari nanti saya mahu melihat Malaysia mendominasi setiap perlawanan dan lawan mereka. Kami mahu peminat berasa bangga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menyaksikan pasukannya mengalahkan Turkmenistan 3-1 di sini pada Rabu malam.

Pada masa ini, Pan Gon hanya memikirkan untuk mencapai sasaran tujuh mata bagi skuad negara dalam memastikan tempat ke Piala Asia 2023.

Biarpun berada di ranking ke-154 dunia, beliau optimis kekuatan yang dimiliki pasukannya dan semangat pemain untuk melaksanakan misi itu, malah cuba mencipta kejutan ke atas Bahrain yang diketuai Helio Sousa.

"Kami cuba untuk meraih satu atau tiga mata, siapa tahu kerana bola sepak boleh berikan kita kejutan sepanjang masa, tetapi apa yang pasti kami bukan pasukan yang mudah, pemain kami juga bakal berdepan saat sukar berdepan Bahrain,” katanya.

Malaysia dan Bahrain memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang selepas menewaskan lawan masing-masing, Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 di sini semalam, sekali gus berkongsi tiga mata di tangga teratas Kumpulan E.

Dalam pertembungan Malaysia-Turkmenistan, gol Harimau Malaya dijaringkan oleh Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-11, Mohamad Faisal Halim (minit ke-16) dan Corbin Ong pada masa kecederaan separuh masa pertama manakala Altymyrat Annadurdyyev menjaringkan gol tunggal Turkmenistan pada minit ke-38.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan penampilan terakhir Malaysia dalam kejohanan berprestij itu pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah lebih 40 tahun skuad negara gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. - Bernama