Notis lucut hak akaun bapa Jho Low difail di mahkamah

 Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Notis usul memfailkan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik bapa Low Taek Jho atau Jho Low, Low Hock Peng telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Sebanyak tiga akaun RHB Bank dan empat akaun Maybank milik Hock Peng sebanyak RM48 juta dipohon dilucuthakkan menerusi Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ini kerana baki wang akaun berpunca daripada perolehan salah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menetapkan satu tarikh untuk pengurusan kes.

23 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah banglo tiga tingkat di Tanjung Bungah, Georgetown, Pulau Pinang milik keluarga ahli perniagaan Jho Low disita.

ARTIKEL BERKAITAN: Banglo milik keluarga Jho Low disita

Penyitaan itu dibuat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman.

Pada 25 Januari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka ialah tiga rakyat Malaysia, iaitu Hock Peng, 67, Goh Gaik Ewe, 67, dan Tan Kim Loong, 41, serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.

Untuk rekod, pada 27 Jun tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh (kini telah bersara), dilaporkan sebagai berkata jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM900 juta hingga RM1.1 bilion.