Tiada alasan lengah bentang RUU Anti Lompat Parti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETELAH beberapa kali ditangguhkan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditubuhkan bagi menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkaitan larangan lompat parti akhirnya memberikan penetapan tarikh bagi pembentangan dan perbahasan RUU amat dinantikan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu berkata, pihaknya bersetuju untuk meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai ini.

Dalam kenyataan sama, Wan Junaidi berkata, mesyuarat yang diadakan jawatankuasa itu pada Selasa turut melakukan ulasan dan memberikan jawapan terhadap lima persoalan dasar dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat kabinet 1 Jun lalu.

Pada 2 Jun lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, kerajaan tidak membantah sebarang cadangan pindaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang dibentang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen semasa mesyuarat kabinet.

Katanya, Peguam Negara, Jemaah Menteri juga turut mendapat penjelasan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkaitan pindaan perlembagaan itu.

Antara polemik yang berbangkit berkenaan pindaan tersebut adalah berkaitan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan yang dilihat terlalu luas sehingga menimbulkan kebimbangan ahli-ahli Parlimen.

Sementara itu, beberapa pakar perundangan turut menimbulkan isu keperluan meminda Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal hilang kelayakan ahli Parlimen.

Untuk rekod, Jawatankuasa Pilihan Khas dibentuk oleh Dewan Rakyat pada April lalu bagi membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti pada April lalu.

Keanggotaan jawatankuasa itu dianggotai oleh 11 Ahli Parlimen yang terdiri daripada pembangkang dan kerajaan.

Ahli Parlimen kerajaan yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Manakala di pihak pembangkang, ia membabitkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang).

Dengan melihat kepada keanggotaan jawatankuasa tersebut, tentunya ia dijangkakan dapat menyelesaikan kesemua isu berbangkit berkaitan RUU tersebut yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang mahupun kerajaan.

Malah, bolehlah dikatakan bahawa tiada lagi alasan yang boleh digunakan mana-mana pihak untuk melengahkan atau melambatkan lagi kewujudan RUU tersebut yang diyakini bakal memastikan kestabilan dan kewibawaan politik negara.

Wan Junaidi pada April lalu memaklumkan bahawa RUU tersebut dijangka dapat diwartakan seawal Januari 2023 sekiranya ia dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai ini.