'Tolong jangan jadi mangsa scammer'

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KETIKA pihak berkuasa sedang berusaha memberi kesedaran untuk mendidik dan memberi kesedaran berkenaan jenayah penipuan dalam talian (online), agak menyedihkan apabila masih ada masyarakat kita yang terjerat dengan helah scammer.

Adalah amat merunsingkan apabila perkara ini masih terus berlaku.

Bayangkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertungkus-lumus melakukan kempen tidak kira menerusi laman sosial mahu pun secara fizikal, kes tetap berlaku. Kerugian bukannya kecil, ada yang hingga berjuta ringgit.

Segala wang simpanan termasuklah di Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis licin diperah scammer.

Ini modus operandi jenayah penipuan yang dikesan bagi mengaut untung memperdaya mangsa.

Jenayah penipuan online hari ini meliputi pelbagai antaranya African Scam, Love Scam, Parcel Scam, pembelian online, pinjaman tidak wujud (PTW) dan yang paling popular iaitu Macau Scam.

Ambil contoh Macau Scam, modus operandi jenayah ini adalah sama dan kerap kali diulas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM.

Amat 'basic' apabila scammer ini akan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa misalnya polis, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah mahu pun perkhidmatan penghantaran. Mangsa akan ditakutkan kononnya mempunyai tunggakan saman, barang yang tidak lulus atau rekod jenayah.

Diingatkan, scammer akan bermain dengan emosi bagi menakutkan mangsa.

Suspek akan berhubung melalui WhatsApp. Bagi memastikan bukti penipuan itu mudah dikesan, suspek mengarahkan mangsa untuk memadamkan perbualan telefon (WhatsApp) dan menghapuskan slip bank yang berkaitan bagi menghilangkan bukti dan keterangan.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga diarahkan untuk merahsiakan perkara itu daripada keluarga dan kawan-kawan.

Sindiket bagai 'hantu' apabila lepas mengganggu terus menghilangkan diri.

Mangsa yang 'cuak' akan menjadi habuan bagi sindiket mengaut untung.

Wajib diingat, tidak ada talian yang disambung dari satu agensi ke agensi lain walhal itu yang dilakukan scammer. Mana mungkin talian kastam boleh disambung kepada polis untuk tindakan siasatan. Itu adalah salah.

Jadi, masyarakat harus ambil tahu isu ini. Bukan hanya sekadar membaca di arus perdana sahaja.

Terus terjerat

Di sini, mangsa yang bijak akan selamat, manakala mangsa yang cetek pengetahuannya akan terjerat. Malang tidak berbau!

Mengapa kes ini masih berlaku? Adakah sebab masyarakat kita kurang celik dan malu mahu mengambil iktibar? Sedih.

Banyak kes dilaporkan di akhbar namun ibarat tiada pengajaran diambil.

Ingat dan sedarlah, bukalah hati seluasnya bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan dengan masyarakat melalui panggilan telefon. Kalau 'mereka' (polis) nak sangat tangkap anda yang bersalah, sudah tentu mereka sendiri cari anda di rumah.

Bayangkan, jika satu kes mampu merekod kerugian ratusan ribu ringgit, berapakah jumlah itu sekiranya lebih daripada satu kes? Sudah tentu makan jutaan ringgit. Bagaimana nasib si mangsa ini?

Apa yang boleh dititikberatkan juga adalah, mungkin anak-anak mengetahui kes scammer sebegini, tapi bukan ibu bapa anda yang semakin berusia. Apa yang boleh ditekankan adalah perlunya untuk memantau ibu bapa masing-masing kerana berdasarkan perkembangan hari ini, kebanyakan mangsa scam adalah terdiri daripada warga tua.

Telefonlah dan kerap bertanya khabar itu memainkan peranan penting.

Apa yang boleh ditekankan adalah orang ramai disaran untuk membuat semakan ke atas nombor akaun yang diberikan sindiket, jangan mudah percaya dengan mana-mana pihak yang mengaku daripada agensi kerajaan dan kenalan baru yang dikenali di media sosial apatah lagi diminta untuk memasukkan wang ke atas akaun milik individu lain.

Jika was-was, boleh semak melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun atau nombor telefon itu pernah disiasat atau sebaliknya.

* Muhammad Afham Ramli ialah Ketua Meja Jenayah Sinar Harian