Malaysia, Belanda tegaskan semula komitmen terhadap MH17

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bersama Stef Blok semasa menerima kunjungan Menteri Luar Belanda itu di pejabatnya di Wisma Putra hari ini. -Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bersama Stef Blok semasa menerima kunjungan Menteri Luar Belanda itu di pejabatnya di Wisma Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia serta Belanda menegaskan semula komitmen kedua-dua negara dan berazam untuk mencari kebenaran, keadilan dan kebertanggungjawaban bagi mangsa Penerbangan MH17, Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 dan waris mereka.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatan beliau dari Belanda, Stef Blok, yang sedang melawat negara ini, menegaskan semula komitmen itu dalam pertemuan mereka di Wisma Putra di sini hari ini.

"Tragedi ini menjadikan hubungan Malaysia dan Belanda bertambah akrab,” kata Saifuddin dan Blok dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan pertemuan dua hala mereka, yang antara lain menyentuh tentang tragedi MH17 yang mengorbankan 196 rakyat Belanda dan 43 rakyat Malaysia.

Pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 298 di dalamnya.

"Lembaga penyiasat Malaysia dan Belanda akan terus bekerjasama dalam Pasukan Siasatan Bersama untuk mencari kebenaran dan membawa pelaku ke muka pengadilan,” tegas Saifuddin dan Blok dalam kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan bersama itu, Blok bertemu waris rakyat Malaysia dalam tragedi MH17 selepas mesyuarat dua hala itu dan Kementerian Luar Malaysia diwakili oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Menteri Luar Malaysia dan Menteri Luar Belanda turut membincangkan kerjasama dalam bidang pengeluaran dan penggunaan minyak sawit lestari.

Blok, menurut kenyataan itu, menyuarakan sokongannya terhadap dasar kerajaan Malaysia untuk menambah baik kelestarian minyak sawit dalam setiap langkah rangkaian nilai. Belanda adalah pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di Eropah.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua menteri luar turut bersetuju untuk terus mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin erat antara kedua-dua negara, dengan melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dan Belanda pula pintu masuk ke Eropah.

"Kedua-dua negara mempunyai kepentingan yang jelas dalam sistem perdagangan antarabangsa yang berfungsi dengan baik,” kata mereka.

Blok, menurut kenyataan itu, menegaskan bahawa menjadi kepentingan ekonomi Malaysia dan Belanda untuk menyambung semula perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Malaysia.

Belanda adalah pelabur ketiga terbesar di Malaysia dengan lebih 200 syarikat Belanda ketika ini aktif di Malaysia. Belanda merupakan destinasi eksport ke-12 terbesar Malaysia.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah RM32.57 bilion (US$7.82 bilion), daripada jumlah itu, eksport dari Malaysia ke Belanda bernilai RM25.80 bilion (AS$6.19 bilion).

Kenyataan bersama itu menyebut Blok turut mengambil peluang untuk menyampaikan penghargaan kerajaan Belanda kepada Malaysia kerana perkongsian dan kerjasama dalam usaha melindungi kubur perang Belanda di perairan Malaysia.

Saifuddin dan Blok menyimpulkan bahawa Malaysia serta Belanda akan bekerjasama dalam ekspedisi menyelam rasmi untuk menyiasat keadaan di tapak berkenaan.

"Langkah seterusnya adalah untuk mewujudkan pelan pengurusan bersama,” kata mereka.

Menurut kenyataan bersama itu, Blok menyuarakan penghargaan ikhlas Belanda berikutan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom awal bulan ini.

Selaku negara tuan rumah Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Belanda mengharapkan untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam memerangi jenayah paling serius yang bebas daripada hukuman, yang membangkitkan kebimbangan komuniti antarabangsa, menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu menyebut Malaysia dan Belanda menegaskan semula kepentingan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) sebagai asas bagi mengehadkan pemilikan senjata nuklear dan perlucutan senjata, dan bersetuju untuk bekerjasama rapat ke arah kejayaan Persidangan Semakan NPT 2020.

Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Persediaan Ketiga bagi Persidangan Semakan NPT 2020 tahun ini, manakala Belanda adalah Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pertama pada 2017.-Bernama